Setiap kilang dan ladang kelapa sawit di Sarawak perlu mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata operasi semua kilang dan ladang terbabit akan dipantau sepenuhnya oleh pihaknya.

Katanya, industri perladangan dan perkilangan kelapa sawit adalah antara jenis perindustrian utama yang dibenarkan beroperasi ketika pelaksanaan PKP.

"Bagaimanapun, mereka perlu menyediakan laporan pemantauan para pekerja secara terperinci termasuk maklumat pergerakan dan kesihatan pekerja.

“Ini antara lain membolehkan kita tahu berapa jumlah pekerja asing dalam setiap ladang dan kilang yang beroperasi.

"Selain itu, kita mesti tahu status kesihatan mereka dan bila mereka tiba di negeri ini. Jadi penting untuk kita mengetahui sejarah perjalanan mereka,” katanya semasa sidang media sempena lawatan rasmi dan pemantauan SOP di kilang minyak kelapa sawit di Bau.

Ujarnya, laporan yang diterima JPBN di setiap daerah akan digunakan bagi mengenal pasti dan mengawal kebarangkalian berlakunya penyebaran wabak COVID-19 di kawasan ladang sawit di seluruh negeri ini.

“Selepas kita mengesan dan mengenal kluster-kluster ini, lebih mudah untuk kita tentukan tindakan seterusnya dalam memutuskan rantaian COVID-19 ini,” tambahnya.