Dianggarkan 50,000 hingga 60,000 individu berdaftar melalui aplikasi e-hailing sebagai pemandu perkhidmatan pengangkutan Uber dan Grabcar di seluruh negara setakat ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong berkata daripada jumlah itu hanya 20 peratus pemandu yang aktif manakala selebihnya pemandu separuh masa yang mempunyai pekerjaan tetap.

"Kebanyakan pemandu yang menyediakan perkhidmatan Uber dan Grabcar tertumpu di kawasan bandar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai jumlah pengguna yang berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan Uber dan Grabcar di seluruh negara sehingga Oktober 2016.

Dalam pada itu, Wee berkata satu rang undang-undang bagi mengawal selia perkhidmatan 'ride hailing' akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan.

Katanya kerajaan sedang memuktamadkan rang undang-undang berkenaan yang turut melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan bagi Sabah dan Sarawak. - BERNAMA