Kisah sebenar Black Hawk Down

black hawk down


Pada 3 Oktober 1993, lebih 100 anggota tentera Malaysia bertarung nyawa untuk menyelamatkan sekumpulan renjer Amerika Syarikat yang terperangkap di Mogadishu, Somalia.

Insiden itu dirakamkan dalam filem Hollywood, Black Hawk Down. Filem itu bagaimanapun tidak memberikan gambaran yang tepat tentang sumbangan tentera Malaysia dan apa yang sebenarnya berlaku di negara bergolak itu 20 tahun lalu.

Dalam satu wawancara dengan Astro AWANI, Major Jeneral (B), Datuk Md. Rozi Baharom yang terlibat dalam operasi berkenaan mengenang kembali hari bersejarah itu.

"Gambaran yang salah itu akan dibetulkan dalam sebuah dokumentari yang akan menceritakan kebenaran di sebalik peristiwa itu," katanya.
Misi menyelamat yang dijalankan bersama Renjer Amerika Syarikat dan komando Delta Forces mengakibatkan banyak nyawa terkorban termasuk Korporal Mat Aznan Awang manakala sembilan lagi tentera Malaysia cedera.

Biarpun begitu, keberanian pasukan Batalion ke-19 Askar Melayu Diraja itu hampir tidak dipedulikan dan diremehkan dalam filem itu seolah-olah tentera Malaysia tidak memainkan peranan penting atau bukan sebahagian daripada misi tersebut.

Peranan tentera Malaysia semasa insiden itu yang menyaksikan militia Somali menembak jatuh dua pesawat helikopter UH-60 Black Hawk langsung tidak ditonjolkan dalam filem Black Hawk Down yang terbit pada 2001. Hal itu mengecewakan hati tentera Malaysia.

Md Rozi ketika itu merupakan Timbalan Komander bagi Batalion Malaysia yang berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa Bersatu di Somalia. Umurnya 42 tahun ketika beliau sama-sama mengepalai pasukan tentera Malaysia mengharungi jalan raya di Mogadishu memburu pemberontak Somali, Jeneral Mohamed Farra Aidid dan konco-konconya.

Menurut Md. Rozi, pasukannya yang lengkap dengan kereta perisai anggota dan senjata bergadai nyawa membantu misi tentera Amerika untuk mengeluarkan 70 renjer negara itu yang terperangkap.



Oleh kerana gambaran yang tidak adil dalam filem tersebut, Md. Rozi menulis sebuah buku tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Beliau juga kemudiannya bertemu dengan pengarah dokumentari, Ahmad Yazid Ahmad Puad untuk menerbitkan sebuah dokumentari bagi menceritakan kisah yang tidak diketahui oleh dunia itu.

Ahmad Yazid berkata, beliau berminat dengan kisah tersebut dan setuju untuk menerbitkan dokumentari berkenaan.
                                          

“Saya menghasilkan dokumentari ini untuk tayangan di pawagam. Ia akan jadi filem dokumentari pertama yang akan ditayangkan di pawagam di negara ini.

“Saya juga berjaya mendapatkan produser filem dan televisyen Britain, John Smithson untuk jadi produser eksekutif.

“Kalau semuanya berjalan lancar, dokumentari itu akan masuk panggung akhir tahun depan," kata Ahmad Yazid.

Smithson beberapa tahun lalu terlibat dalam menerbitkan filem Hollywood, 127 Hours, yang diarahkan oleh Danny Boyle.