Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

"Kita dikejutkan dengan pengkhianatan" - Anwar ulas perkembangan terbaharu politik

"Kita dikejutkan dengan pengkhianatan" - Anwar ulas perkembangan terbaharu politik
Anwar Ibrahim mendengar kuliah yang disampaikan Wan Salim Wan Noor di kediamannya pada Ahad. - Gambar Instagram YUSMADI YUSOFF
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim terkejut dengan perkembangan terbaharu landskap politik tanah air sehingga menimbulkan kekalutan dalam kalangan rakyat.

Menurut Presiden PKR itu, perkembangan tersebut dilihat sebagai satu pengkhianatan yang menyebabkan berlakunya perubahan.

“Kita dikejutkan pada hari ini (Ahad) dengan perkembangan bagi kita juga satu pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya.

“Maka menyebabkan ada perubahan dan saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat... mungkin esok walaupun tidak ada pengumuman malam ini.
“Tetapi dari segi maklumat yang saya terima, memang ada usaha demikian,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Zikir Nuril Anwar bersama Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor di kediamannya di Segambut, ibu negara malam ini.
Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu, majlis agama itu perlu berjalan mengikut asasnya iaitu untuk bemunajat kepada Allah SWT, solat, zikir, selawat dan solat hajat.

“Bukan kerana Anwar nak jadi PM (Perdana Menteri) kelapan...mungkin sembilan..Insya-Allah. Itu hebatnya orang Islam, yakin... tetapi yang penting tawakal.

“Kita jangan pula terganggu. Memang biasa manusia ini terganggulah sedikit dengan kejutan-kejutan yang tidak dijangka. Kita usaha, kita ambil pendekatan yang sangat sederhana, lembut habis, sokong sahaja, tetapi sabar tahap dewa. Ada ketika kita akan guna panah sakit.

“Ini gangguan sementara, malah kita lalui yang lebih parah dulu. Ini hanya cubaan kecil.  Mudah-mudahan Allah mudahkan dana kuatkan kita, yang penting capai kebaikan dan kemenangan,” jelasnya.

Suhu politik Malaysia semakin panas apabila hari ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan tertutup dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Dalam masa sama, sekumpulan pemimpin dari kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mengadakan mesyuarat di Hotel Sheraton yang terletak tidak jauh dari ibu pejabat Bersatu.

Antara pemimpin berkenaan yang hadir ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).
Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga mengadakan mesyuarat tergempar di Kuala Lumpur.

Menjelang petang Ahad pula, media difahamkan enam pemimpin parti politik mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.



Tag: Anwar Ibrahim, pengkhianatan, politik, PKR



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.