Dasar dan polisi ekonomi baharu negara perlu fokus pada keperluan dan bukan lagi berteraskan perkauman sahaja.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin menegaskan, isu politik yang melanda negara pada ketika ini turut menjejaskan sedikit sebanyak keyakinan pelabur luar.

Susulan itu, antara langkah yang telah diambil kerajaan termasuklah memulihkan semula tiga cabang utama negara iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Ketika ini, kita masih jauh daripada sempurna, tetapi pelbagai kemajuan telah dicapai. Tanpa diragui, perubahan tidak popular dilaksanakan tetapi perubahan ini tidak disenangi oleh mereka yang tewas.

“Demi menjaga kehendak agenda peribadi, mereka membangkitkan isu perkauman. Amat menyedihkan, pada satu tahap, kempen mereka ini dilihat berjaya,” katanya.

Daim berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk 'Polisi Ekonomi Baharu Untuk Malaysia Baharu' pada perasmian Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Isu Dasar Awam: Trend dan Unjuran Global, di sini hari ini.


Dalam persidangan anjuran Institut Polisi Awam dan Pengurusan Antarabangsa (INPUMA) Universiti Malaya (UM) yang berlangsung selama dua hari itu beberapa ahli panel berkongsi isu merentas polisi awam di peringkat tempatan dan global.

Mengulas lanjut, Daim berkata, walaupun peralihan kerajaan berlangsung dengan lancar dan aman, namun, Malaysia masih perlu menunjukkan pada dunia yang negara ini mempunyai dasar yang jelas untuk dilaksanakan secara proaktif oleh kerajaan.

"Negara kita memerlukan pemangkin untuk memastikan ekonomi bergerak terus ke hadapan, tetapi ini perlu dirancang dengan teliti, telah ada perancangan untuk pelaksanaan dasar fiskal yang lebih luas tapi sejauh mana perancangan ini, termasuk memahami pelaksanaannya?

"Walaupun mungkin ramai yang mengabaikan kepentingannya, ketidakupayaan mana-mana kerajaan untuk secara efektif menyampaikan rancangan dan strategi jangka panjangnya, bakal menyebabkan mereka kehilangan keyakinan di kalangan pelabur - baik tempatan mahupun asing," katanya.