Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi amaran kepada penganjur perhimpunan 'Kita Lawan' supaya bersedia dengan apa-apa tindakan yang akan diambil pihak polis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perhimpunan yang disertai lebih empat ribu orang di KLCC yang berlangsung pada petang Sabtu.

"Kalau mereka sudah mencabar undang-undang, bersedialah pula dengan tindakan. Berani buat berani tanggung. Jangan salahkan pihak polis pula lepas ni.

"Kepada mereka yang bertanggungjawab ke atas perlanggaran undang-undang petang tadi, bersedialah menghadapi tindakan undang-undang," tambah beliau apabila dihubungi Astro AWANI pada malam Sabtu.

Apabila ditanya apakah pihak penganjur akan dipanggil untuk memberi keterangan, beliau menjawab perkara itu akan berlaku dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Khalid juga mengesahkan penahanan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli adalah berkaitan perhimpunan #Kitalawan yang diadakan petang tadi.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan tersebut, beliau berkata pegawai polis yang bertugas begitu bersabar dengan kerenah peserta yang hadir.

"Walaupun pelbagai provokasi telah dilakukan oleh mereka (ketika perhimpunan 'Kita Lawan'), tetapi pegawai dan anggota-anggota saya telah bersabar dan tidak memberi apa apa tentangan.

Khalid dalam pada itu melahirkan rasa hairan dengan kenyataan yang dikeluarkan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada Jumaat yang menyebut bahawa pihak polis perlu bertanggungjawab memastikan keadaan tidak bertukar kecoh ketika perhimpunan 'Kita Lawan' diadakan.

"Cuba tanya pemerhati-pemerhati dari Majlis Peguam Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tentang perhimpunan petang tadi, apa komen mereka terhadap perlanggaran undang-undang dan Peraturan Jalan Raya yang dilakukan oleh mereka yang berdemo. Adakah itu boleh diterima?

"Bagaimana dengan nasib peniaga yang terpaksa menutup awal premis perniagaan mereka kerana risaukan keadaan kecoh.

"Peniaga-peniaga ini tiada hak kah? Apa komen pemerhati terhadap perkara ini?" tambah Khalid.