KJ nafi terlibat usaha singkirkan Zahid, namun akui ada pertemuan sulit

KJ nafi terlibat usaha singkirkan Zahid, namun akui ada pertemuan sulit
Khairy turut menjelaskan walaupun kini terdapat pelbagai pandangan dalam UMNO, beliau masih belum membuat sebarang pendirian kerana Parlimen masih bersidang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menafikan terlibat dalam usaha menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui perkara itu (rancangan menyingkirkan) dan masih belum ada pandangan berhubung status Ahmad Zahid dalam parti tersebut.

Bagaimanapun, Khairy turut mengakui terdapat rancangan pertemuan sulit dalam kalangan ahli parlimen UMNO untuk menyingkirkan Ahmad Zahid.
"Saya ada dengar beberapa ahli parlimen yang menjemput, yang kata kita akan adakan perbincangan tidak rasmi selepas sidang Parlimen kali ini selesai.

"Saya tak tahu apa-apa, kalau ada sebarang usaha tidak melibatkan saya dan tak terlibat dalam apa-apa pun.

"Saya tidak pasti sama ada pertemuan itu ada kaitan dengan isu ini (status Ahmad Zahid) atau tidak, saya tidak dimaklumkan, tetapi ada pesanan yang mengatakan kita perlu berjumpa dan berbincang mengenai beberapa isu semasa dan sebagainya," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Parlimen, pada Isnin.

Sebelum ini terdapat laporan yang mendakwa Ahmad Zahid bersetuju untuk 'berpisah daripada UMNO' dan menerima syarat 'perceraian' membabitkan perjalanan politik serta kedudukannya pada masa depan.

Beberapa portal berita hari ini melaporkan ahli parlimen veteran dari UMNO mendakwa 98 peratus daripada 48 ahli Parlimen UMNO bersetuju dengan perkara tersebut, selain menegaskan itu adalah satu-satunya langkah ke depan untuk parti.

Khairy turut menjelaskan walaupun kini terdapat pelbagai pandangan dalam UMNO, beliau masih belum membuat sebarang pendirian kerana Parlimen masih bersidang.

"Kita perlu fikirkan masa depan parti secara teratur dan mendalam. Ia tidak boleh diselesaikan dalam sidang media atau dengan memberi komen terhadap laporan berita yang saya sendiri tidak tahu," katanya.