Tutup

KJ: Surat jemputan kepada Pemuda PAS akan dihantar segera

KJ: Surat jemputan kepada Pemuda PAS akan dihantar segera
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan menghantar surat jemputan secara rasmi kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bagi mendapatkan pandangan mengenai belia.

Katanya surat jemputan itu akan dihantar dalam masa terdekat bagi membolehkan kedua-dua memberikan pandangan masing-masing.

"Saya menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS dan akan menghantar surat jemputan secara rasmi dalam masa terdekat," katanya kepada Astro Awani.

Sebelum itu, DPPM dalam satu kenyataan medianya menyambut baik cadangan Khairy yang mahu menjemput wakil dari Pakatan Rakyat untuk mendapatkan pandangan bagi mengenai hala tuju belia di negara ini.


Khairy membuat kenyataan tersebut pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam kabinet baru kerajaan Barisan Nasional.
"Ini Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bukan Kementerian Belia dan Sukan Barisan Nasional. Saya akan panggil wakil dari pembangkang termasuk Pemuda PAS untuk mendapatkan pandangan mereka," kata Khairy dalam sidang medianya selepas memulakan tugas rasminya Jumaat lepas.