Majoriti rakyat negara ini didapati berpuas hati dengan usaha dan tindakan yang diambil oleh kerajaan, agensi kesihatan serta pihak berkuasa kesihatan tempatan yang dilihat efisien dalam usaha mengawal penularan COVID-19.

Dapatan itu diperoleh hasil tinjauan umum yang dilakukan syarikat kajian pasaran, IPSOS melibatkan 1,000 responden antara 23 hingga 26 Mac 2020.

"95 peratus merasakan bahawa tindakan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertepatan setelah mengambil kira risiko COVID-19," kata dapatan itu lagi.

Majoriti responden juga mengharapkan supaya situasi penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan kembali normal pada Jun nanti.

68 peratus daripada 1,000 responden di negara ini mengharapkan keadaan kembali seperti biasa menjelang Jun.

Kajian tersebut juga mendapati 37 peratus responden berpendapat bahawa liputan media mengenai COVID-19 sengaja digembar-gemburkan.

Mereka adalah dalam kelompok kumpulan yang berusia 35 tahun ke bawah, berpendapatan rendah dan tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi.

"Untuk perbandingan global, rakyat Itali pada mulanya juga merasakan sedemikian tetapi persepsi itu berubah secara mendadak pada minggu berikutnya," kata syarikat itu dalam nota dapatan kajian tersebut.