Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan ujian pengesanan COVID-19 kepada 700 kakitangan dan 800 banduan di Penjara Sungai Buloh selepas seorang banduan disahkan positif virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, banduan yang bukan warganegara Malaysia itu telah diasingkan dan dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih.

“Kita sekarang melihat kepada kontak rapat banduan tersebut dan kita akan saring mereka. Kita dah pindahkan tahanan itu ke depoh tahanan di Semenyih.

“PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) Gombak akan saring kontak rapat banduan itu. Bukan sahaja kontak rapat tapi 700 kakitangan dan 800 tahanan di penjara tersebut akan disaring.

“Kalau kita ada kesan satu kes positif, kita akan terus laksanakan pengesanan kes secara aktif (ACD) kepada mereka yang terdedah kepada banduan tersebut termasuk kakitangan. Saringan sedang giat dijalankan setakat ini,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.

Tambah beliau, banduan itu berada di penjara tersebut sejak 2016 dan pernah keluar pada 13 Mac 2020 sebelum disahkan positif COVID-19.