Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tarikh taska akan dibenarkan beroperasi masih belum ditetapkan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama MKN.

“Esok, baru akan dibentangkan SOP secara diperhalusi kepada MKN. Apa kita lihat sekarang ini, apabila dibuka kelonggaran kepada dalam sektor ekonomi, ramai ibu bapa menyatakan mereka memerlukan perkhidmatan taska.

“Apa yang penting adalah keselamatan di taska dan kita juga telah memperbaiki ayat contohnya penggunaan isolasi ditukarkan kepada keutamaan kepada anak barisan hadapan terutamanya warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita juga lihat bagaimana untuk tingkatkan jumlah taska di hospital. Setakat ini ada 112 taska dan kita mohon untuk tingkatkan lagi taska ke semua 146 hospital kita,” katanya pada sidang media harian di sini pada Isnin.