Kementerian Kesihatan Malaysia berhasrat meluaskan amalan Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) di lebih banyak hospital di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, bidang perubatan tersebut semakin penting kerana kira-kira 30 peratus daripada kalangan rakyat di negara ini yang menggunakannya.

Dr Lee berkata sehingga kini, Malaysia mempunyai 15 hospital awam yang menyediakan amalan T&CM yang meliputi akupunktur dan ubat herba sebagai terapi adjunktif untuk kanser.

Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat perlu mendapatkan rawatan moden dan hanya menggunakan perubatan T&CM sebagai rawatan alternatif.

"Dalam pengumpulan data mengenai kanser baru-baru ini, penangguhan rawatan menjadi satu masalah.

"Sesetengah rawatan tertangguh kerana pesakit mendapatkan rawatan tradisional yang tidak sepatutnya berlaku. Anda perlu mendapatkan perubatan yang sesuai.

"Oleh itu, perubatan T&CM hanya disyorkan untuk digunakan sebagai rawatan pelengkap untuk melegakan penderitaan dan meningkatkan hasil perubatan moden," katanya pada sidang media selepas melancarkan pembukaan Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari di Sunway Geo Avenue, Subang Jaya pada Khamis.

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah Fook Ling dan Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan, Dr Goh Cheng Soon.

Selain itu, beliau berkata pengamal T&CM perlu mendaftar mulai tahun 2021 bagi memastikan kualiti perkhidmatan T&CM selain mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Dalam perkembangan yang lain, mengulas mengenai situasi terkini berhubung jangkitan influenza di Malaysia, beliau berkata KKM tidak mempunyai statistik mengenai influenza kerana ia tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan atau notifikasi.

BACA: Dua kelas SJKC Butterworth ditutup, murid dijangkiti influenza


“Kami hanya menyimpan rekod kekerapan berlakunya wabak tersebut.

“Wabak tersebut disebabkan virus influenza bermusim dan kumpulan yang berisiko tinggi ialah seperti wanita mengandung, kanak-kanak, warga tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik,” katanya.