Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan tidak akan berlaku kenaikan mendadak kes COVID-19 di empat kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) seperti yang berlaku tiga hari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan saringan berterusan dilakukan selain tindakan menghantar pulang warga asing yang negatif COVID-19 ke negara asal mereka.

"Sekarang ini hampir selesai saringan kali kedua mereka di DTI Bukit Jalil dan kes positif diasing dan dimasukkan ke hosptal sekarang, dua kes sedang tunggu keputusan.

"Kita tidak menjangkakan kenaikan mendadak seperti tiga hari lepas yang kita dapat 270 kes itu. Jadi semua saringan dilakukan dan kita nasihat Jabatan Imigresen agar hantar balik kes yang negatif ke negara masing-masing," katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.

BACA: COVID-19: 37 kes baharu, 25 pulih dan satu kematian dilaporkan

Setakat ini, DTI Bukit Jalil menunjukkan 1,545 kes telah disaring dengan jumlah kes positif COVID-19 kekal 608 kes melibatkan bukan warganegara.

"935 kes negatif dan yang menunggu keputusan ada dua kes iaitu bagi saringan kali kedua," ujar beliau.

DTI Semenyih pula menyaksikan 1,785 kes disaring dan kes positif COVID-19 kekal 66 orang iaitu 65 warga asing dan seorang warganegara Malaysia.

"Manakala jumlah yang negatif ialah 1,716 kes dan tiada yang menunggu keputusan," tambahnya.

Selain itu, bagi DTI Sepang mereka yang disaring ialah 1,477 orang melibatkan 60 kes positif melibatkan bukan warganegara dan mereka yang negatif 1,417.

DTI Putrajaya pula, seramai 101 orang telah disaring, dua kes positif dan 99 kes negatif.