Kerajaan kini mengkaji cadangan untuk membenarkan hanya kanak-kanak yang divaksin penuh sahaja mendaftar untuk belajar ke tadika seperti yang dilakukan di Australia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, berkata keputusan mengenainya akan dibuat selepas menerima maklum balas berkenaan penerimaan rakyat.

Ujarnya, inisiatif seperti pendekatan pendidikan, bimbingan dan kaunseling adalah lebih wajar dilakukan pada ketika ini.

"Kaedah yang kita sedang kaji ini diamalkan di Australia di mana apabila seseorang murid mahu didaftarkan di tadika, ia mewajibkan kanak-kanak supaya divaksin sepenuhnya terlebih dulu.

"Ia bukan mahu mendiskriminasi kanak-kanak yang tidak divaksin, tetapi sebagai langkah perlindungan kepada kanak-kanak lain. Ini adalah antara kaedah yang kita sedang kaji yang sudah dilaksanakan di satu, dua negara," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, bilangan pihak yang menolak imunisasi kepada anak mereka pada tahun 2016 ialah seramai 1,603 kes, meningkat berbanding 1,541 pada 2015.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mahu mengenakan tindakan lebih tegas kepada pihak yang enggan memberi imunisasi kepada anak mereka.