Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu melibatkan pekerja asing warga Bangladesh di sebuah syarikat pembersihan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga jam 12 tengah hari Jumaat, sebanyak 24 kes positif COVID-19 telah dilaporkan membabitkan kluster tersebut.

"Kes-kes positif ini dikesan oleh sebuah klinik swasta yang telah menjalankan saringan COVID-19 ke atas pekerja-pekerja syarikat pembersihan terbabit.

"Saringan ini adalah inisiatif pihak majikan untuk menyaring pekerja mereka.

"Secara keseluruhan, daripada 150 pekerja yang telah disaring, 24 orang didapati positif manakala 126 didapati negatif COVID-19," katanya pada sidang media harian di sini pada Jumaat.

Tambah Dr Noor Hisham, daripada 24 kes positif kluster tersebut, 20 daripada mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Sementara empat kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

"Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan telah diambil seperti mengenal pasti dan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja asing yang bertugas di unit lain.

"Setakat ini seramai 428 kontak rapat telah dikenal pasti dan akan disaring," ujarnya.