Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengesan kontak rapat seorang pegawai pentadbiran di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih yang disahkan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan melakukan saringan ke atas ahli keluarga dan mereka yang berhubung rapat dengan pesakit berkenaan.

"Ada satu kes melibatkan pegawai pentadbir di DTI Semenyih. Kita telah asing dia di hospital dan memberikannya rawatan.

"Kita menjalankan active case detection iaitu pengesanan kontak rapat di kalangan keluarga dan mereka yang telah berhubung dengannya.

"Kita masih laksanakan langkah ini dan pastikan mereka disaring," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.

Dr Noor Hisham memaklumkan, 281 kes positif COVID-19 dikesan di DTI Bukit Jalil, 66 kes termasuk seorang kakitangan pentadbiran di DTI Semenyih dan 36 kes di DTI Sepang.