Kementerian Kesihatan (KKM) proaktif melakukan aktiviti pemantauan sebagai tindakan awal bagi mencegah risiko penularan COVID-19 selepas satu kes membabitkan seorang pelajar dikesan di kawasan Lembah Pantai di ibu negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, seramai 34 pelajar dan lapan guru telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pelajar berkenaan.

Katanya, daripada 42 individu itu, seramai 28 orang telah disaring dan 14 orang lagi telah diberi arahan untuk hadir ke klinik kesihatan untuk menjalani ujian saringan.

"Hasil siasatan mendapati seorang pelajar Tingkatan 5 dari sekolah tersebut telah mengalami gejala muntah dan cirit-birit pada 9 Ogos, dan pada 10 Ogos dia telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan. Dia seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut di mana dia telah disaring untuk demam denggi dan juga jangkitan COVID-19.

"Keputusan saringan demam denggi didapati positif namun pengesahan ujian COVID-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan dia dijangkiti demam denggi.

"Sementara menunggu pengesahan ujian makmal tersebut, pihak KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif iaitu sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kes positif COVID-19 di Lembah Pantai membabitkan seorang pelajar dari sebuah sekolah di Seri Pantai.

BACA SEMUA MENGENAI COVID-19 DI SINI

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, semua individu yang disaring diarahkan untuk menjalani
Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan.

"Selain itu, proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenal pasti dan pemantauan ke atas kes bergejala ini dan semua kontak rapat akan terus dipantau KKM," jelasnya.