Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat tiga kluster baharu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketiga-tiga kluster ini merupakan penularan di dalam negara yang telah berpunca daripada kes import.

Tiga kluster baharu itu adalah Kluster Elsa, Kluster PUI Ramnad dan Kluster PUI AI Khobar.

BACA: COVID-19: 21 kes baharu direkodkan, 16 adalah kes penularan tempatan

Berikut adalah perincian ketiga-tiga kluster tersebut;

Kluster Elsa

- Kes indeks kluster ini adalah seorang bukan warganegara (kes ke-8839) yang merupakan seorang krew kapal dan mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea.

- Beliau telah masuk ke Malaysia pada 16 Julai 2020 untuk mula bekerja.

- Saringan COVID-19 di Filipina pada 14 Julai 2020 dilaporkan negatif. Beliau kemudiannya menaiki kapal terbang ke Kuantan dan bermalam di sebuah hotel di sana, sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin di atas kapal setelah mendapat kelulusan Jabatan Laut.

- Lima hari kemudian, pada 20 Julai 2020, beliau mula mengalami gejala dan dikesan positif pada 22 Julai 2020 serta dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

- Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan setakat ini seramai 108 telah disaring yang mana tiga dikesan positif, 48 negatif dan 57 masih menunggu keputusan.

Kluster PUI Ramnad

- Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang kembali ke negara ini dari India pada 6 Julai 2020 (kes ke-8817).

- Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif Beliau telah menjalani Perintah
Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai 2020.

- Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

- Setakat ini seramai 18 orang telah disaring dan mereka terdiri daripada enam ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat. Daripada jumlah ini dua kes dikesan positif, 13 negatif dan tiga masih menunggu keputusan.

Kluster PUI AI Khobar

- Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara Arab Saudi pada 10 Julai 2020 ( kes ke-8803).

- Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani HSO
bersama lima orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka, di mana kelima-lima mereka ini juga telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks menaiki pesawat yang sama.

- Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19 pada 20 Julai 2020.

- Susulan itu, tujuh ahli keluarga telah disaring dan satu kes dikesan positif dan enam negatif.

Justeru, Dr Noor Hisham menggesa pengembara yang pulang ke Malaysia dan sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah untuk mematuhi sepenuhnya kepada syarat yang telah ditetapkan.

"Ahli keluarga kepada individu di bawah HSO juga perlu turut patuh dengan memastikan terdapat penjarakan yang selamat dengan individu yang menjalani HSO. Individu yang didapati melanggar perintah ini akan dikenakan tindakan.

"Kerjasama semua pihak adalah diharapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia," tegasnya.