Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menafikan hospital-hospital kerajaan menghentikan rawatan ke atas pesakit kanser berikutan jangkitan COVID-19.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penangguhan rawatan tersebut berkemungkinan atas faktor lain.

Tegasnya, KKM komited untuk memastikan perkhidmatan terhadap rakyat akan terus diberikan.

"Tetapi untuk pesakit kanser, kita ambil darah dulu kalau darah memang menunjukkan memang tak sesuai untuk kita beri kimoterapi tersebut, mungkin kita tangguhkan.

"Jadi sebab kimoterapi atau rawatan ditangguhkan, mungkin sebab lain bukan sebab hospital tutup ataupun sebab jangkitan COVID-19," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan bahawa seorang pesakit kanser tahap kronik di negara ini terpaksa menangguhkan rawatannya selama 15 hari susulan pihak hospital perlu memberi rawatan kepada pesakit COVID-19.