Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sedang dalam perancangan untuk mencadangkan agar mana-mana individu yang memasuki negara ini agar tidak perlu menjalani kuarantin 14 hari.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setiap individu terbabit perlu terlebih dahulu menjalani ujian COVID-19 dan disahkan negatif.

“Kita pun sedang merancang sama ada kita boleh guna pakai bukan untuk Sabah dan Sarawak (tidak perlu menjalani kuarantin) tetapi untuk negara kita.

“Mereka nak kembali atau dah datang ke Malaysia menjalani (ujian) saringan dulu iaitu di negara masing-masing, kalau negatif kita akan lihat bagaimana kita boleh membenarkan mereka datang ke Malaysia, contohnya.

“Tetapi kuarantin itu kita tetap akan laksanakan kalau kita tiada ujian atau saringan dijalankan.

"Jadi, sekarang ini kita masih melihat kepada bagaimana rakyat Malaysia yang kembali untuk mereka sama ada dikuarantin secara wajib di pusat kuarantin ataupun dikuarantin di rumah. Jadi, ini adalah satu pertimbangan yang sedang kita lakukan,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai arahan di mana individu yang mahu memasuki Sabah perlu menjalani ujian COVID-19 tiga hari sebelum masuk ke negeri itu.

Jelas Dr Noor Hisham, tempoh tiga hari untuk menjalani ujian saringan boleh dilakukan memandangkan 80 peratus ujian saringan di negara ini boleh dijalankan dalam tempoh 48 jam.