KKM sahkan dua kematian akibat laksa di Baling

KKM sahkan dua kematian akibat laksa di Baling
Dr Norhizan mengulas mengenai kes kematian disebabkan oleh laksa di Baling. -Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan (JKN) Kedah mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata daripada jumlah itu, sembilan kes dengan dua kematian dilaporkan di Perak manakala 10 lagi dilaporkan di Kedah.

BACA: Mati akibat laksa? Jabatan Kesihatan Kedah, Perak siasat dakwaan

"Pada 6 Okt lalu, KKM telah menerima satu notifikasi daripada Hospital Gerik mengenai dua kes keracunan makanan dengan satu kematian dan siasatan lanjut mendapati tujuh kes lagi daripada satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama mengalami gejala demam, cirit-birit, dan muntah.
"Mereka dilaporkan telah memakan laksa pada 9.30 malam, 4 Okt lalu yang dibeli oleh bapa si mati di sebuah gerai di Kupang, Baling pada hari yang sama pukul 5.30 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata pada Ahad lalu, dua lagi kes telah dimasukkan ke Hospital Gerik kerana mengalami keracunan makanan setelah memakan laksa yang dibeli di kedai sama pada 4 Okt dengan satu kes dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh namun pesakit meninggal dunia pada 2.31 petang, hari yang sama.

"Selain itu, 10 kes keracunan makanan berkaitan dengan laksa yang dibeli di kedai sama turut dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Baling.

"Siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan di JKN Kedah dan JKN Perak untuk mengenal pasti kes-kes yang mempunyai gejala Keracunan Makanan (KRM) dan terdedah kepada makanan yang sama," katanya.

Katanya JKN Kedah telah menjalankan pemeriksaan dan menguatkuasakan penutupan sementara ke atas gerai terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan beberapa sampel klinikal, sampel makanan dan persekitaran sudah diambil untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

Pada masa sama beliau menasihati orang ramai yang mempunyai gejala KRM agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

"Orang ramai diminta tidak khuatir kerana kejadian wabak itu adalah terkawal dan disarankan sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan selain mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum makan," katanya.

-- BERNAMA

Tag: KKM, Kementerian Kesihatan, Alor Setar, Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, laksa, mati


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.