MALAYSIA
KKM syaki bahan kimia organophosphorus punca kes keracunan di Batu Gajah

Exco Kesihatan, Datuk Dr Mah Hang Soon (kanan) memeriksa kesihatan K. Mariamah, 30, (terbaring) yang mengalami muntah dan sakit perut akibat keracunan makanan di Hospital Batu Gajah (HBG) hari ini. - FotoBERNAMA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyaki kejadian keracunan makanan yang berlaku di daerah kecil Batu Gajah, Perak semalam adalah berpunca daripada bahan kimia organophosphorus, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, susulan kejadian tersebut pihaknya akan meneruskan pengawasan aktif dalam tempoh dua minggu untuk kes-kes yang memenuhi kes definisi di klinik dan hospital di kawasan berkenaan.
"Siasatan kes di rumah dan active case detection (ACD) untuk kes yang serupa akan diteruskan. Perbincangan dengan agensi-agensi yang terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Maklumat keputusan makmal yang diterima sehingga 12 tengahari 5 Mac 2016 mendapati sembilan sampel darah yang diterima telah dikesan paras ujian cholinesterase di dalam darah adalah rendah dan ini merupakan indikator pendedahan kepada bahan kimia organophosphorus.
Tambahnya, beberapa langkah telah diambil oleh kementeriannya termasuk mengambil sampel makanan, persekitaran, klinikal, bekalan air di gerai terbabit dan tiga buah kilang di mana pesakit bertugas untuk analisa lanjut.
"Selain itu, KKM turut menjalankan siasatan kes di hospital dan rumah serta analisa ringkasan kes yang dikesan setakat ini selain menjalankan siasatan dan pemeriksaan di gerai yang terlibat dan pengendali makanan.
Pihak KKM juga mengadakan perbincangan awal bagi mengenalpasti punca kejadian yang turut dihadiri pihak Bomba Batu Gajah dan pihak kesihatan dari PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.
Justeru, beliau menasihati orang ramai di kawasan Batu Gajah supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti kepeningan, muntah, cirit birit, kecelaruan, berpeluh berlebihan dan air liur berlebihan.
Sehingga lewat malam Jumaat, pihak KKM menerima sebanyak 39 kes di mana empat kes dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (HRPB) setelah pesakit dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami