Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuhkan pemantauan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi potensi penularan virus Ebola (EVD) berikutan wabak itu diisytiharkan sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) di Republik Demokratik Kongo (DRC).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sejak pertubuhan itu mengisytihar virus berkenaan sebagai PHEIC di negara Afrika barat itu mulai 2014.

Usaha yang dilaksanakan termasuk pemakluman langkah pencegahan dan kawalan infeksi kepada anggota KKM di pintu masuk antarabangsa dan memberi penekanan pengurusan kes yang disyaki mengikut garis panduan pengurusan EVD.

"Saringan kesihatan bagi pelawat dari negara tersebut telah sedia ada dijalankan di pintu masuk antarabangsa. Justeru, aktiviti saringan kesihatan ini akan diperkukuhkan lagi bagi mengesan gejala jangkitan EVD,

"Penumpang atau anak kapal yang disyaki mempunyai gejala EVD akan dirujuk ke hospital yang dikenalpasti bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, langkah lain yang dilaksanakan ialah bagi kes Person Under Investigation (PUI) EVD akan dilapor kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Kebangsaan, mempertingkatkan pengetahuan berkaitan EVD kepada masyarakat dan pelawat serta sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan secara berterusan untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan KKM.

Pada 17 Julai lepas, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi kenyataan Mesyuarat International Health Regulations (2005) Emergency Committee mengisytihar kejadian penularan Ebola di republik itu sebagai PHEIC.

Bagaimanapun, pertubuhan itu tidak mengeluarkan sebarang larangan atau sekatan untuk ke negara terbabit dan negara yang dijangkiti juga tidak dikenakan sebarang sekatan perjalanan dan perdagangan di peringkat antarabangsa.

KKM akan terus memantu situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, katanya.

-- BERNAMA