Kementerian Kesihatan menubuhkan Majlis Penasihat Kesihatan buat pertama kali menyaksikan tujuh pakar dan tokoh dalam bidang perubatan di negara.

Menurut Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, penubuhan majlis berkenaan bagi memastikan prestasi kesihatan negara terus dipertingkat.

“Ini termasuk kaedah kaedah ke arah penstrukturan semula KKM, transformasi perkhidmatan sistem penyampaian kesihatan, pembangunan modal insan, penambahbaikan sistem pembiayaan kesihatan negara, kerjasama awam dan swasta dalam penjagaan kesihatan, indikator kesihatan nasional, promosi dan perlindungan kesihatan," jelasnya.

Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Januari lalu.

Tambah Dzulkefly, majlis berkenaan akan dipengerusikan mantan ketua pengarah kesihatan Malaysia yang juga Pengerusi International Medical University Malaysia (IMU) Tan Sri Abu Bakar Sulaiman.

Manakala enam yang lain dianggotai Setiausaha Agung International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies, Tan Sri Jemilah Mahmood, Professor Ekonomi dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya Tan Sri Datuk Kamal Mat Salih.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara Datuk Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Obstetrik dna Ginekologi Pusat Perubatan Gleneagles Datuk Dr Alex Mathews dan Pengarah Teknikal Malaysia Health System Project, Harvard School of Public Health Dr Yap Wei Aun.

Tambah Dzulkefly, majlis berkenaan akan bermesyuarat sekurang kurangnya 12 kali setahun dan berdasarkan keperluan yang ditentukan kementerian.

Tumpuan terdekat Majlis terbabit ketika ini adalah berkenaan kerjasama awam dan swasta dalam penjagaan keishatan dan pembangunan modal insan.

Kertas cadangan itu ujar Dzulkefly, akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan suku ketiga tahun ini.