Tutup

KKMM masih tunggu laporan isu pencerobohan data penumpang

KKMM masih tunggu laporan isu pencerobohan data penumpang
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (kiri) dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Al-Ishsal Ishak bercakap pada sidang media pada Khamis. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata beliau sedang menunggu laporan lengkap berhubung kes pencerobohan data penumpang melibatkan anak syarikat penerbangan Lion Air termasuk Malindo Air.

Beliau berkata pihaknya telah pun dimaklumkan mengenai pencerobohan data penumpang itu.
“Saya akan tunggu laporan tersebut sebelum membuat sebarang komen. Adalah penting untuk saya meneliti semua fakta sebelum membuat satu kenyataan berkenaan perkara tersebut khususnya dalam keadaan di mana perkara tersebut dalam siasatan pada masa sekarang,” ujarnya.

Gobind memaklumkan, beliau akan membuat kenyataan mengenai isu itu sebaik sahaja menerima laporan lengkap berkenaan perkara tersebut.
Pencerobohan itu menyebabkan maklumat jutaan penumpang termasuk nombor pasport, alamat rumah dan nombor telefon disebarkan menerusi forum pertukaran data dalam talian.

Beliau pada masa sama berkata, tidak ada sebarang had masa ditetapkan, namun berharap ia dapat diterima secepat mungkin.

“Saya harap ia dapat disegerakan kerana ini adalah satu perkara yang cukup penting dan ramai yang melihat kepada aspek keselamatan, dan saya harap untuk terima satu laporan dalam masa yang sepantas mungkin,” tambahnya.

Terdahulu, terdapat laporan oleh firma keselamatan siber berpangkalan di Moscow, Kaspersky Lab bahawa beberapa data peribadi penumpang yang dihoskan dalam persekitaran berasaskan awan telah terjejas.

Berikutan kes itu juga, pihak Malindo Air telah melaporkannya kepada pihak berkuasa dalam dan luar negara termasuk CyberSecurity Malaysia.

Syarikat itu juga melibatkan diri dengan perunding bebas jenayah siber bagi menyiasat dan melaporkan kejadian ini.


Tag: Gobind Singh Deo, KKMM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Malindo Air, Lion Air, penerbangan, Moscow, CyberSecurity Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.