Tutup

KLIA berjaya 'terbangkan' Menteri Pengangkutan ke Pulau Pinang

KLIA berjaya 'terbangkan' Menteri Pengangkutan ke Pulau Pinang
Anthony Loke berpuas hati dan memahami masalah yang dihadapi oleh KLIA. - Gambar fail
SEPANG: Meskipun sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih mengalami gangguan hingga antaranya menjejaskan waktu penerbangan, namun ia berjaya 'menerbangkan' Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk menghadiri program rasmi di Pulau Pinang hari ini.

Menurut Setiausaha Akhbarnya, Lim Swee Kuan, walaupun berlaku sedikit kelewatan masa penerbangan yang melibatkan Loke, namun pesawat dapat berlepas ke destinasi yang dituju.

"YB (Loke) berpuas hati dan memahami masalah yang sedang dihadapi KLIA dan beliau serta rombongannya bersabar seperti penumpang lain untuk melalui segala proses dari daftar masuk ke balai pelepasan untuk menaiki kapal terbang ke Pulau Pinang," katanya kepada Bernama hari ini.
Loke dijadual menghadiri Majlis Pelancaran Pas Mutiara anjuran Prasarana di Pulau Pinang, pada sebelah pagi hari ini.

Sebelum berlepas, Loke mengambil kesempatan meninjau keadaan di KLIA bersama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau diberi taklimat mengenai perkembangan di terminal itu oleh pegawai Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).



Gangguan sistem, yang bermula sejak Rabu malam di KLIA dan klia2, menjejaskan sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Dalam hantaran di laman Facebook beliau, Loke berkata, beliau dimaklumkan bahawa MAHB telah menjalankan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan termasuklah penggantian perkakasan yang bermasalah.

"Kami berharap masalah ini boleh diselesaikan dengan secepat mungkin. Terima kasih kepada pekerja lapangan terbang KLIA/klia2 yang bekerja lebih masa untuk memperbaiki keadaan ini," kata Loke. - BERNAMA

Tag: KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, gangguan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.