Klip video seks: 'Saya tidak percaya ia tulen' - Tun M

Klip video seks: 'Saya tidak percaya ia tulen' - Tun M
Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan agenda politik oleh orang tertentu.
SHAH ALAM: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan agenda politik oleh orang tertentu.

Malah, perdana menteri menjelaskan beliau tidak percaya ketulenan video lucah yang dikaitkan dengan Azmin itu.

“Saya tidak percaya ia tulen. Sekarang, kita boleh banyak perkara dengan video dan gambar sekiranya kita pandai.

“Mungkin satu hari kamu akan lihat gambar saya pula macam itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Malam Sejuta Kenangan di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Rabu malam.
Dr Mahathir turut mempersoalkan tindakan individu yang mengaku Muhammad Haziq Aziz yang tidak malu membuat pengakuan kepada orang ramai.

"Budak itu yang mengaku ini seolah-olah sengaja buat perkara ini. Biasanya orang seperti itu malu untuk mengaku tetapi dia tidak.

"Sekarang ini dia mengaku dengan (perbuatannya). Apa tujuan sebenar?" soalnya.

Beliau berkata, tindakan menyebarkan video lucah itu merupakan suatu perbuatan yang kotor dan jijik.

"Kalau kamu tidak boleh menang mengatasi seseorang jangan buat perkara kotor. Jadikan politik ini bersih.

"Kalau nak buat seperti itu, setiap hari boleh sahaja berkongsi gambar dan video lucah. Kamu hampir kalah, kamu sebar gambar lucah," katanya.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Azmin menegaskan tuduhan yang dibuat oleh individu bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz merupakan komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian beliau.

Beliau juga menyifatkan tuduhan tersebut bertujuan menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Muhammad Haziq dalam video pengakuannya pada Rabu mendakwa dia merupakan individu dalam video seks yang turut dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Katanya, video tersebut telah diambil tanpa kebenarannya pada 11 Mei semasa PRK Sandakan di sebuah hotel.