Dua kluster jangkitan COVID-19 yang dilaporkan sebelum ini telah diisytiharkan tamat sepenuhnya hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia melibatkan Kluster Gombak dan Kluster Pangsapuri Cheras.

Pertambahan dua lagi kluster itu menjadikan keseluruhan 56 kluster telah tamat sepenuhnya.

"Kes pertama kedua-dua kluster ini telah dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz atau maahad yang merupakan salah sebuah kumpulan sasar yang dikenal pasti berisiko tinggi.

"Ini adalah pendekatan tertumpu (targetted approach) yang setakat ini telah membantu mengesan banyak kes COVID-19.

"Sukacita dimaklumkan, daripada siasatan yang telah dijalankan, didapati tiada kes positif COVID-19 yang lain daripada kedua-dua pusat tahfiz atau maahad yang terlibat ini," katanya menerusi kenyataan media harian perkembangan terkini COVID-19 pada Ahad.

Kluster Gombak telah dilaporkan pada 18 Mei lalu di sebuah kuarters kediaman di Gombak yang menjangkiti lima warganegara Malaysia.

Sementara Kluster Pangsapuri Cheras telah dilaporkan pada 1 Jun lalu dan menjangkiti lapan individu melibatkan satu kes positif warga Indonesia dan selebihnya adalah warganegara Malaysia.