Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur diisytiharkan tamat pada hari ini selepas tiada sebarang jangkitan COVID-19 dikesan membabitkan kluster tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut dikesan hasil saringan ke atas 10 orang pekerja bukan warganegara melalui inisiatif majikan syarikat tersebut.

Kes pertama dikesan pada 24 Mac lalu membabitkan kes ke-1,909.

"Sehingga 9 Julai, seramai 33 orang disaring yang terdiri daripada 16 warganegara Malaysia dan 17 bukan warganegara.

"Daripada jumlah ini, didapati empat kes yang positif COVID-19 iaitu tiga pekerja syarikat dan satu kontak rapat mereka. Keempat-empat kes adalah di kalangan warga Indonesia," katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 11 daripada 15 kluster tempat kerja telah diisytiharkan tamat, setakat ini.

Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur merupakan kluster pertama yang dikesan dalam kumpulan kluster tersebut.

Kata beliau, empat lagi kluster yang masih aktif adalah Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2; Kluster Pedas; Kluster Syarikat Pembersihan; serta Kluster Tapak Pembinaan Kuching.