Tutup

KLWBC 2020: Buku bukan sepatu!

KLWBC 2020: Buku bukan sepatu!
Buku punya legasi tersendiri; dianggap alat pengasah minda untuk ketajaman berfikir pembaca. - Gambar hiasan
BUKU akan jadi seperti sepatu kalau sekadar digayakan untuk stail dan poyo-poyo cuma.

Koleksi buku pula akan jadi tidak berguna sekiranya gagal membina minda pemilikinya.

Tentulah sinikal kalau deretan rak-rak buku dan banyaknya susunan sepatu tidak dapat membezakan apa-apa.

Mustahil ia sama taraf antara kualiti IQ pada minda manusia dan status sepatu di kaki pemiliknya.
Buku punya legasi tersendiri; dianggap alat pengasah minda untuk ketajaman berfikir pembaca.

Manakala, sepatu hanya hiasan kaki sekadar untuk bergaya.
Namun, kaki juga boleh bertukar jadi kepala - kalau sepatu dianggap akal dan otak si pemakainya.

Hairannya - ada juga orang yang percaya: Imej dan keterampilan serta personaliti diri boleh dipengaruhi jenama sepatu.

Jadi tidak hairanlah, majoriti individu sanggup berbelanja ratusan hingga ribuan ringgit untuk memiliki sepasang sepatu.

Kononnya - sepatu mampu melonjakkan reputasi diri.

Pada masa sama, pemilik sepatu mahal ini, sangat kedekut untuk membeli buku.

Malah, tidak peduli pun terhadap keupayaan buku sebagai narasi ilmu yang mampu menggayakan keluasan minda.

* KLWBC 2020 dan cabaran penerbitan buku

Cabaran era ini terhadap survival penerbitan buku sangat kritikal. Industri buku sejak 2015 berdepan cabaran kemeruduman jualan yang teruk.

Pasaran buku dekad ini sangat komplikated akibat kesuraman kuasa pembelian. Peminat buku bunyinya macam ramai. Tetapi pembeli buku menyusut dengan ketara.

Pemain industri terutama penerbit buku berdepan ancaman gulung tikar. Ini realiti, sekiranya pasaran buku terus berdepan krisis jualan menjunam tahun ke tahun.

Buku bakal jadi perjilidan ilmu yang akan pupus dalam masa terdekat.

Kebimbangan ini turut menjenuhi aspirasi kehadiran Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC 2020).

Kehadiran KLWBC pada dekad buku sedang tenat, menyebabkan industri perbukuan menyimpan harapan besar menemukan satu titik kalih perniagaan.

Keadaan industri sangat kucar-kacir setelah lima tahun berturutan mengalami kejatuhan jualan akibat penarikan skim baucer buku pada 2016.




Industri buku memerlukan "blue print" dan eko sistem baharu yang dinamik.

Percayalah: industri buku akan karam dan tenggelam sekiranya "pelan perancangan kecemasan" tidak dilaksanakan segera.

Pembacaan buku fizikal di Malaysia memang berada di Zon Merah Unit Rawatan Kritikal.

Malah, sudah wujud persepsi - budaya membaca buku fizikal satu perlekehan.

Pemain industri dan pecinta buku mulai berdepan cabaran migrasi digitalisasi.

Buku fizikal bakal dianggap fosil kuno menjelang era 5G yang akan dilancarkan pada September nanti.

Sekiranya tiada ledakan kempen pemasaran yang dinamik dan penstrukturan semula persekitaran minat yang organik - angka lambakan buku dalam setor boleh melebihi nilai RM500 juta.

E-buku atau apa saja senario yang menjadikan buku sebagai aset digital, kini disuguhkan sebagai jalan keluar menuju budaya pembacaan baharu.

Dalilnya mudah: Buku fizikal sudah ketinggalan zaman dan kehilangan pembaca.

Buku tidak lagi wajar wujud di atas meja atau disusun pada rak bacaan. Buku kini hidup dalam budaya hujung jari dan muat turun digital.

Ini fobia yang merimaskan pemain industri.

"Sekarang ini untuk menjual buku fizikal terutama karya sastera sangat perit," kata aktivis Roman Buku, Aloy Paradoks.

Aloy mengungkapkannya dua tahun lalu. Inilah kata-kata yang selalu berdengung dalam telinga saya setiap kali berfikir mengenai nasib industri perbukuan.

Cetakan per judul, kata Aloy, mengalami kemuruduman permintaan. Istilah jualan melepasi 10,000 naskhah kini hanya mimpi.

"Susah menghabiskan jualan, walaupun cetakan per judul hanya 1,000 naskhah."

Hal yang sama diakui Ketua Pegawai Eksekutif Kata Pilar, Mohd Rasydan Fitri Mohd Baharin.

Aktivis muda ini melihat kejatuhan pasaran buku fizikal sejak 2015 menjadikan penerbit lebih sibuk menguruskan strategi menjual stok lambakan dalam setor.

"Sukar menerbitkan judul baru kalau berbelas atau puluhan judul lama hanya terjual sekitar 500 ke 700 naskhah. Ribuan bakinya berlambak dalam simpanan," katanya.

Kata Pilar antara rumah penerbitan kecil (maaf kalau besar) yang sangat aktif dalam menerbitkan pelbagai genre perbukuan.

Kata Pilar memiliki keunikan dengan segmen buku yang ditulis khusus oleh kelompok doktor perubatan.

Kata Pilar antara puluhan rumah penerbitan yang lahir hasil kebangkitan anak muda mandiri yang muncul pada 2006.

Kini, sama seperti nasib hampir 50 penerbit kecil lain, Kata Pilar berdepan cabaran tegar untuk meneruskan usaha percambahan karya perbukuan tempatan.

"KLWBC 2020 mungkin bersifat kempen meningkatkan pembacaan. Namun, sama ada impaknya terasa dalam konteks pasaran buku - belum tentu satu jaminan," kata Penerbit Studio Anai-anai, Azlan Sinaganaga.

Azlan sentiasa berterus-terang. Anak muda generasi ledakan budaya mandiri - lidahnya adalah senapang!

* Mampukah KLWBC 2020 memulihkan pasaran buku?

Itu soalan paling berat dan sangat mencemaskan. Hala tuju KLWBC 2020 secara lateral lebih terarah kepada kempen meningkatkan budaya membaca.

Naratifnya KLWBC tidak spesifik dalam mencipta "blue print" baharu bagi menangani eko sistem pasaran buku.

Apa lagi mencipta pelan penyusunan semula model perniagaan buku pada skala jangka panjang.

Kalau dilihat pada senarai lebih 300 acara yang bakal mengisi KLWBC bermula 18 April 2020 hingga 22 April 2021 - fokusnya relatif pada kempen menggalakkan budaya membaca.

"Agak menyedihkan kerana KLWBC tidak ada usaha konkrit ke arah membina eko sistem pemasaran buku?" pertikai Azlan.

Isu percambahan pandangan dan kritikan terhadap KLWBC bukan bererti perbalahan.

Pemain industri mengemukakan pandangan kritis sebagai tanda solidariti dan mahu bersikap proaktif demi survival perbukuan domestik.

Sekiranya budaya membaca berjaya meningkat, tetapi pasaran industri buku terus menanggung mudarat - KLWBC 2020 dilihat tidak mampu mengimbangkan konflik sebenar industri perbukuan.

Membina budaya membaca dan membangunkan industri buku perlu paralel. Kedua-duanya saling berkaitan.

"Ibarat dibentuk menjadi cincin, dilebur menjadi emas."

Sekiranya industri buku terus melemah, apa guna budaya membaca menjadi gagah?

* 10 minggu yang kritikal

Mulai 18 hingga 23 April depan, pintu gerbang utama KLWBC 2020 akan dibuka tanda secara sah.

Tanda Kuala Lumpur mengisytiharkan dirinya sebagai Ibu Kota Buku Dunia ke 20.

"Jadi timbul pertanyaan, fokus KLWBC 2020 ini apa?" pertikai Azlan lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Mutalib Othman turut menzahirkan kembimbangan yang sama.

"Acara nampaknya dipenuhi dengan festival dan temasya. Persoalan pemasaran perbukuan sebagai aset utama budaya pembacaan kelihatan tercicir," katanya dalam mesyuarat Sekretariat Pelaksana KLWBC 2020 pada Januari lalu.

Suara Mutalib mewakili suara pemain industri. Malah, usahanya mengungkapkan pandangan kritis secara berani sesuatu yang terpuji.

Mutalib melihat dilema utama yang dipikul agensi kerajaan seperti PKB yang diberi peranan memulihkan kedudukan industri perbukuan.

Tinggal kurang 80 hari lagi menjelang minggu pelancaran - dan KLWBC 2020 masih dihantui dilema fokus dan matlamat pengisian.

Sama ada KLWBC 2020 memacu fokus utamanya dalam merancakkan kempen pembacaan atau berperanan serampang dua mata dengan menstrukturkan semula eko sistem industri penerbitan?

Apakah KLWBC 2020 masih punya waktu untuk disinergikan antara buku dan baca?

Ini cabaran besar dalam memilih keutamaan agenda. Dilema di mana penganjur dan pemain industri berada di dua persimpangan berbeza.

Apa pun ikatan prospek pembidaan KLWBC 2020 pada 2018 memang khusus mengenai kempen meningkatkan minat membaca.

Selain menyediakan akses perpustakaan yang lebih meluas serta peralihan kandungan buku ke platform digital.

KLWBC 2020 telah memberikan jaminan kepada Pertubuhan Sains, Pendidikan dan Kebudayaan PBB (UNESCO) untuk mengukuhkan minat literasi buku dengan menyantuni masyarakat melalui pembacaan.

Secara prinsipnya, fokus KLWBC 2020 terikat pada kempen meningkatkan kesedaran dan infrastruktur yang menjana minat membaca.

* Berdebat demi pengukuhan matlamat

Apa pun, pertelagahan antara matlamat KLWBC 2020 dan realiti industri buku - sesuatu yang sangat begini sangat konstruktif.

Penerbit buku adalah nadi kepada agenda perbukuan dan seterusnya tetunjang utama kearah membina peradaban membaca.

Tanpa buku tempatan: Apakah bahan yang akan dihadam masyarakat pembaca?

Apakah ertinya membaca kalau tidak berpaksikan kepada karya yang mewakili identiti negara bangsa sendiri?

Mustahil dan amat mendukacitakan, sekiranya pustaka perbukuan kita dipenuhi lambakan bahan bacaan asing.

Tentulah menyedihkan sekiranya budaya membaca negara dikuasai buku-buku fizikal dan digital dari luar negara.

Kita berdebat kerana mahu melihat KLWBC 2020 dilaksanakan secara paralel.

Kuala Lumpur wajar gah dan gagah dalam konteks penampakan fizikal serta kaya-raya dalam orientasi pembacaan.

Mari kita terus berdebat dengan pandapat yang bermanfaat.

Sekali gus berusaha sedaya upaya menjadikan KLWBC 2020 sebagai jenama dunia yang bersejarah dan penuh bermakna.


* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.



Tag: Kolumnis AWANI, Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia, KLWBC, buku bukan sepatu, cabaran penerbitan buku



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.