Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

KLWBC 2020: Lirik lagu mengubah dunia

KLWBC 2020: Lirik lagu mengubah dunia
Muzik dan lirik Bob Dylan digunakan sebagai alat melawan penguasa politik sepanjang tiga dekad Perang Dingin. - Gambar Fail
"These songs of mine, I think of as mystery plays, the kind that Shakespeare saw when he was growing up. I think you could trace what I do back that far."

BOB DYLAN menulis hampir 400 buah lagu ketika menerima Hadiah Noble Kesusasteraan pada 2016.

Satu kejutan besar kerana kali pertama penulis lirik dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij ini sejak diperkenalkan Akademi Sweden pada 1901.

Bob Dylan lahir pada 25 Mei 1941 di Duluth, Minnesota dengan nama Robert Allen Zimmerman.
Lirik-liriknya dianggap karya sastera dan diterima Akademi Sweden (Penilai Anugerah Noble) sebagai "menciptakan ekpresi baharu dalam puisi serta muzik rakyat Amerika Syarikat (AS)".

Muzik Bob Dylan sangat statik selama enam dekad. Kekuatan utamanya pada irama blues dan folk yang mewakili jiwa Minnesota.
Bob Dylan secara pop tentulah terlihat sangat sederhana dalam narasi muzik dan liriknya.

Walaupun merakyat dan sangat kedesaan, falsafah lirik dalam lagu-lagunya meletakkan nama Bob Dylan mengatasi semua pemuzik dan penyanyi sezamannya.

Album pertama muncul pada 1963 ketika berusia 22 tahun. Walaupun, suaranya aneh serta keterampilan yang "cabuk" dan selekeh, lagu "Blowing In The Wind" terus pantas menerbangkan nama Bob Dylan merentas dunia.

Penyanyi dan penulis lirik ini muncul tepat pada waktunya. Ketika dunia sedang mencari seorang ikon pelawan secara berseni yang mampu menentang dasar luar ketenteraan AS.

Selain, keseruan suara bagi menangani iklim politik domestik yang tegang dan penuh dengan isu perkauman.

Bob Dylan secara pop tentulah terlihat sangat sederhana dalam narasi muzik dan liriknya. Apa lagi pada era muzik Beatles sedang mendominasi dunia.

Namun, sejarah adalah fakta. Beatles hidup hanya 10 tahun (1960-1970) sebagai band boy asal Liverpool yang berjaya menakluk Eropah dan AS.

(Dengan rasa hormat turut mengakui bahawa lagu-lagu Beatles juga berjaya mengubah dunia).

Bob Dylan pula kekal menyanyi selama enam dekad hingga hari ini; tanpa pernah merasa penat dan terus bercakap melalui muziknya mengenai kehidupan manusia.

Sebelum menerima Anugerah Noble (Bob Dylan tidak hadir pada majlis itu dan tidak menyatakan status sama ada menerima atau menolak anugerah ini), namanya sudah diterima sebagai penyanyi dan penulis lirik paling berpengaruh di dunia.

(Sila rujuk Rock and Roll Hall of Fame, Music Hall of Fame Minnesota, Nashville Songwriters Hall of Fame dan penulis lagu Hall of Fame).

Pada 2016 ketika meraih Anugerah Noble setelah 53 tahun berkarya sebagai pemuzik folk dan blues, Bob Dylan tidak pernah dikaitkan sebagai penyair.

Bob Dylan menulis hampir 400 buah lagu ketika menerima Hadiah Noble Kesusasteraan pada 2016.

Dia dianggap makhluk asing dan bukan komuniti sastera.

Walaupun muzik Bob Dylan statik, panel Akademi Sweden memberikan merit pada semangat perjuangan dalam lirik-lirik lagunya.

Pengaruhnya sangat besar kerana selama lebih lima dekad, muzik kampung Bob Dylan dikendara pejuang hak asasi dan koloni anti perang.

Suara aneh dan rengek harmonikanya juga dijadikan slogan pop. Asasnya jelas - sebagai senjata menentang politik perkauman.

Bob Dylan sendiri seorang seniman meastro yang mengendalikan lirik pro marhaenisme dan anti politikus populis.

Lagu terawalnya "Blowing In The Wind" juga turut mencabar naratif muzik AS dan Barat. Suara Bob Dylan melengkapkan "buku lima" dan adu tinju gerakan sivil.

Bob Dylan memilih tidak menyertai caravan artis popular dengan lirik-lirik sedatif berbau hedonisme.

Walaupun Beatles (1960-1970) mencetuskan fenomena muzik Liverpool di AS dan Barat dengan irama lebih moden dan "happening", Bob Dylan kekal dengan keyakinan pada muzik blues dan lirik-lirik yang merakyat.

Bob Dylan terkenal sebagai "pemalu publisiti". Seorang yang anti populis. Fokusnya kekal sebagai suara yang sentiasa tajam mengkritik dasar politik AS.

"The Times They Are Changin'" (1964) menjadi jenama dagang terbesar bagi Bob Dylan. Pada usia 26 tahun, penyanyi ini berjaya menghadiahkan kepada aktivis sivil sebuah lagu bagi tema menentang perang.

"Come, senators, congressmen
Please heed the call
Don't stand in the doorway
Don't lock up the hall
For he who gets hurt
Will be he who has stalled
The a battle outside ragin'
Will soon shake your windows
And rattle your walls
For the times they are a-changin
'

(Petikan lirik The Time They Are Changing)

"Like a Rolling Stone" (1965) menyusul dan nama Bob Dylan memuncak. Malah, diukur sebagai bintang pop walaupun muzik, lirik dan keperibadiannya kekal sebagai anti populis.

"Ahh you've gone to the finest schools, alright Miss Lonely
But you know you only used to get juiced in it
Nobody's ever taught you how to live out on the street
And now you're gonna have to get used to it
You say you never compromise
With the mystery tramp, but now you realize
He's not selling any alibis
As you stare into the vacuum of his eyes
And say do you want to make a deal?"


(Petikan lirik Like A Rolling Stone)


Bob Dylan mengisi aspirasi hippie

Pecinta hippie dan pejuang hak asasi berasa lega dengan keterampilan dan adanya Bob Dylan. Popularitinya memudahkan agenda kemanusiaan dipromosi secara lebih meluas.

Muzik dan lirik Bob Dylan digunakan sebagai alat melawan penguasa politik sepanjang tiga dekad Perang Dingin. Selain sebagai perisai yang agresif menentang politik anti kulit hitam.

Pecinta keamanan dan pejuang hak asasi menjadikan A Hard Rain's Gonna Fall (1963), Chimes Of Freedom (1964), The Times They Are a-Changin' (1964) dan Another Side of Bob Dylan (1964) sebagai sumber seni kemanusian.

Bob Dylan anti "limelight" di media massa dan majlis anugerah. Namun, sangat komited pada jadual konsert jelajahnya yang sentiasa padat.

Kerapkali ketika menerima Anugerah Grammy, Bob Dylan hanya mengirim ucapan ringkas melalui video dari lokasi konsert.

Muzik dan lirik Bob Dylan digunakan sebagai alat melawan penguasa politik sepanjang tiga dekad Perang Dingin.

Bob Dylan percaya perjuangannya ialah berkomunikasi dengan manusia melalui muzik. Dunia glamor bikinan Hollywood sangat dijauhi.

Bob Dylan antara lagenda Anugerah Grammy dengan menerima 11 award dan 38 pencalonan.

Lebih unik, Bob Dylan tidak pernah penat menghasilkan album. Tema perjuangannya pula konsisten pada setiap dekad.

Apabila perjuangan anti nuklear berakhir dengan tamatnya Perang Dingin 1945-1987 - pada usia melepasi 50 tahun, Bob Dylan menyertai caravan baharu.

Mulai 1992, di pentas berbeza, Bob Dylan menyertai Bono U2 dan Bob Geldof dalam perjuangan menuntut pembelaan terhadap isu kebuluran di benua Afrika.

Apa pun, perjuangan terbesar Bob Dylan ialah melalui lagu "Hurricane" yang dilancarkan pada 1975.


Mencari keadilan Rubin Carter

Lagu "Hurricane" (1975) adalah suara keras Bob Dylan yang memprotes penganiayaan polis dan sistem kehakiman AS terhadap petinju dan pejuang kulit hitam Rubin 'Hurricane' Carter.

Hurricane dituduh terlibat dengan pembunuhan pada 1966. Polis dan institusi kehakiman berkonspirasi menggunakan bukti palsu.

Akibatnya Hurricane dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan membunuh dengan kiraan tiga (hukuman paling berat dengan penjara tanpa parol).

Rubin 'Hurricane' Carter sebenarnya disumbat di penjara kerana isu politik.

Hurricane sebenarnya disumbat di penjara kerana isu politik. Polis kulit putih bimbang dengan peranan dan popularitinya pada era kebangkitan masyarakat kulit hitam menuntut hak mengundi.

Pada 1999, lagu ini difilemkan dengan judul yang sama setelah Hurricane dibebaskan dan didapati tidak bersalah pada 1986.

Hurricane nyanyian Bob Dylan sangat unik. Liriknya amat panjang dan hampir menjadi sebuah karya prosa.

Namun, lirik panjang ini berbaloi sebagai pembelaan terhadap lelaki yang dipenjara secara tidak adil selama 20 tahun.

Bob Dylan menjerit kepada dunia dan menuntut sokongan keadilan terhadap Hurricane. Ketika lagu ini dilancarkan, Hurricane sudah sembilan tahun dipenjara.

Lagu Bob Dylan dijadikan muzik latar dalam filem berjudul Hurricane pada 1999.

Hurricane hanya dibebaskan sebelas tahun kemudian, apabila aktivis guaman berjaya membuktikan kesnya satu penipuan polis dan penyabitan secara prasangka oleh hakim.

Lagu Bob Dylan dijadikan muzik latar dalam filem berjudul Hurricane pada 1999. Satu karya yang berbaloi setelah 24 tahun dirakamkan.

Filem lakonan Danzel Washington dan arahan Norman Jewison juga berjaya mencapai kutipan pecah panggung AS$74 juta (RM300 juta).

Sebagai seniman, Bob Dylan ialah penyanyi pertama yang berjuang menuntut keadilan terhadap Hurricane. Satu gambaran, betapa kuatnya kepercayaan dan simpati penyanyi ini kepada Rubin Carter.

Hurricane dipenjara pada usia 31 tahun dan bebas pada 1987. Walaupun meninggal dunia pada 20 April 2014, sejarah hitam Hurricane akan dikenang setiap kali lagu ini bergema.

Itu keistimewaan Bob Dylan. Dirinya cekal dan berani. Muzik dan liriknya bercakap dengan jelas mengenai tugas seorang seniman sebagai manusia.

Apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Noble, mereka yang buta pada sejarah muzik dan perjuangan Bob Dylan mempertikaikan kelayakannya.

Filem lakonan Danzel Washington dan arahan Norman Jewison juga berjaya mencapai kutipan pecah panggung AS$74 juta (RM300 juta).

Namun, ia bukan kudis kerana Bob Dylan sendiri tidak hadir menerimanya dan tidak pernah menyatakan apa-apa perasaan terhadap anugerah ini.

Peminat yang kenal personalitinya sebagai penyanyi dan pejuang kebenaran kekal beranggapan: Bob Dylan menolak anugerah itu secara senyap.

Malah, anugerah itu tidak penting pun. Tanpa Hadiah Noble, Bob Dylan tetap kekal berdiri sebagai seniman, pejuang, pemuzik, penyanyi dan penulis lirik.

Lebih 400 lagu dihasilkan selama enam dekad dengan nota anti perang, menolak perkauman dan menyintai keamanan.

Selain lagu-lagu cinta yang turut mengisi senarai katalis liriknya.

Mendengar awalan lirik Hurricane cukup mendebarkan. Apa lagi liriknya dianggap yang terpanjang dalam muzik moden hingga hampir menjadi mini cerpen.

Pistol shots ring out in the barroom night
Enter Patty Valentine from the upper hall
She sees the bartender in a pool of blood
Cries out, "My God, they killed them all!"
Here comes the story of the Hurricane
The man the authorities came to blame
For somethin' that he never done
Put in a prison cell, but one time he could-a been
The champion of the world


(Petikan lirik Hurricane)


Bob Dylan tetap Bob Dylan

Majalah Rolling Stone menempatkan Bob Dylan sebagai artis kedua terbaik dalam sejarah muzik moden.

Satu takah dibawah Beatles dalam senarai "Greatest Artists of All Time". Sangat ironi, kerana Beatles mengakui mereka peminat dan pengagum Bob Dylan.

Beatles tentu bukan satu-satunya pengagum Bob Dylan. Dunia mendengar suara artis selekeh ini sebagai pelawan politik, aktivis sosial, ahli falsafah dan pecinta sastera.

Pengaruhnya jelas melalui 100 juta salinan jualan lagu-lagunya.

Seorang Bob Dylan terlalu lengkap untuk dilengkapi setakat anugerah. Sekali pun Hadiah Noble.

Muzik sudah menjadikan dirinya pejuang sejati. Aktivis pula berjuang menggunakan muziknya. Satu solidariti bagi tujuan keamanan, hak asasi, kempen anti perang dan menentang kebuluran di Afrika.

Hakikatnya - anugerah tidak bercakap apa-apa mewakili seniman. Hukum seni ialah: seniman bercakap melalui karya-karyanya.


Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.