Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

KLWBC 2020: Misteri & magis Zaen Kasturi

KLWBC 2020: Misteri & magis Zaen Kasturi
Zaen Kasturi ialah Tristan Ludlow dalam filem Legend Of The Fall (1994). Perjalanan watak seorang lelaki yang penuh dengan konflik hitam putih. - Gambar Astro AWANI
KITA mulakan dengan menikmati dua puisi yang ditulis dalam sela waktu 27 tahun.

Dua judul dalam dua nada. Namun, milik seorang penyair bernama Zaen Kasturi.


Kuntum Sedap Malam

ada yang diam-diam menanggalkan warnaku dari sanggul malam, memasung deriaku dari raung alam - kemudian melontar bauku ke tebing sungai sana hingga para cacing merasa tanah sedemikian hanyirnya. masih saja tanah basah ini memberiku nafas. tapi mengapa ada yang diam-diam melucutkan kembangku dari lagu hujan, dan kemudian memaksaku membenamkan diri ke dalam kemarau? mujur kelopakku sudah dirantai dan tidak bisa menjatuhkan dendam dengan lirih debungaku yang telah lama tersula
apa lagi yang ingin kupandang, selain pandang-Nya yang mesra itu?

(1988)
Ingatan Kepada Kawan XXXI

kautahu?
kebiadaban memungkinkan apa saja
hingga secangkir kopi pahit
lebih mahal harganya daripada
sekolam darah syuhada

(2015)

Zaen Kasturi secara akademik telah banyak diperkatakan sejumlah sarjana. Mr. Google pula boleh menceritakan mengenai latar belakang penulis kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini secara detail.

Internet boleh memberikan maklumat mengenai penulis misteri ini, melebihi apa yang boleh diceritakan Zaen Kasturi secara peribadi.

Zaen Kasturi sangat 'reserve' dan komplikated. Kalau diajak berbual - topik intrinsik mengenai diri sendiri - bukan subjek yang digemarinya.

Sukar memahami Zaen Kasturi sejak zaman mudanya. Kita tidak mampu menerka apa-apa; kalau sekadar membaca renungan pada dua matanya. Atau, beranggapan kerut di kening dan tawanya mewakili perasaan sebenar.

Watak Zaen Kasturi sangat absurd walaupun dirinya subjek yang real. Malah, diri dan karyanya boleh saja mengelirukan kita kerana kerapkali saling bertukar identiti.

Oh! Memang watak Zaen Kasturi sangat absurd.

Secara pop - Zaen Kasturi boleh saja dirujuk sebagai watak-watak yang pernah dilakonkan Brad Pitt dalam tiga filemnya yang paling komplikated.

Brad Pitt lahir 1963 - setahun lebih tua berbanding Zaen Kasturi.

Zaen Kasturi ialah Tristan Ludlow dalam filem Legend Of The Fall (1994). Perjalanan watak seorang lelaki yang penuh dengan konflik hitam putih.

Tristan Ludlow melalui pengalaman hidup yang menjadikan dirinya sangat kontras. Dia seorang abang yang penyayang tetapi juga petarung yang ganas.


Artikel KLWBC 2020 kali ini, sedikit sensasi. Sekadar percubaan meneroka seorang Zaen Kasturi yang lebih normal secara personal.

Lelaki yang mahu melupakan kepedihan masa lalu, tetapi tetap menanggung kesakitan akibat beban kenangan.

Pada sisi lain, Zaen Kasturi ialah Joe Black/Young Man In Coffee Shop dalam filem Meet Joe Black (1998).

Zaen Kasturi boleh saja menjadi lelaki ramah yang romantik seperti Young Man In Coffee Shop ketika bertemu Susan Parrish.

Pada masa sama adalah Death/Joe Black yang sinis, lurus dan naif ketika bersama William Parrish.

Watak akhir yang boleh dicadangkan untuk mengenali Zaen Kasturi menerusi siri filem-filem Brad Pitt tentunya sebagai David Mill dalam Seven (1995).

David Mill, watak pencari kebenaran yang fokus pada misi hidupnya. Walaupun dihambat api emosi, namun memiliki IQ dan 'sense' yang tinggi.

Bauran identiti yang kontras ini menjadikan David Mill pencari kebenaran yang mampu menafsir kod-kod kehidupan yang ganas dan liar.

Zaen Kasturi dalam versi tiga watak utama filem-filem Brad Pitt, lebih real untuk difahami. Ini realiti apabila apabila berdepan profil unik yang melihat kehidupan sebagai premis penuh tragedi.

Apa pun - filem hanya fiksi. Watak hanya kreativiti. Sedangkan Zaen Kasturi secara real ialah penulis hebat yang mewakili era sastera eksperimental.

Dia 'abang besar' yang meneroka dan mengisi gelombang fenomena sastera eksperimental dekad 80-an dan 90-an.

Kita baca sebuah lagi puisinya:

Siapa paling bahagia?

Sekutum bunga untukmu. Setangkai duri untukku. soalnya sekarang siapa paling bahagia? tentu aku bukan? duri yang mengenal kulit, daging, tulang, urat dan darah. duri yang menjaga bunga mengawal pohon.

duri yang sentiasa membaca makna sakit.

(1988)

Zaen Kasturi punya dua sisi. Dia penyair hebat dan cerpenis mapan. Dia menguasai dua genre ini lebih tiga dekad hingga hari ini.

Zaen Kasturi sebagai penyair, kata SM Zakir (Penerima SEA Write Award 2011) ialah penyair kedua yang meneroka pembaharuan bentuk dan stail puisi Melayu moden. Malah, penanda aras generasi eksperimental.

Zaen Kasturi - pada hemat SM Zakir juga - adalah penyair penting selepas Sasterawan Negara Usman Awang yang merombak puisi Melayu moden mewakili era Asas 50.

Pembaca akan lebih faham mengenai hemat SM Zakir kalau membaca tiga antologi puisi Zaen Kasturi.

77 Tuju, 2015 terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia.

Iga, 2005 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Katarsis, 1993 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaen Kasturi - pada hemat SM Zakir juga - adalah penyair penting selepas Sasterawan Negara Usman Awang yang merombak puisi Melayu moden mewakili era Asas 50.

Zaen Kasturi menerima SEA Write Award pada 2010. Walaupun dikenali sebagai penyair prosaik yang mengubah puisi Melayu menjadi genre yang lebih bebas bernaratif, lelaki aneh ini juga seorang cerpenis yang stailo.


Cerpen Zaen Kasturi & trilogi filem M. Night Shyamalan

Sebenarnya, Zaen Kasturi lebih komplikated sebagai cerpenis. Naratif fiksyennya bukan lagi sekadar watak-watak Brad Pitt dalam trilogi penuh kontradiksi.

Falsafah cerpen dan pemikiran Zaen Kasturi lebih komplikated kalau pun naratif psikopat setara filem Silent of The Lamb arahan Jonathan Demme (1991).

Sebagai cerpenis - fiksi Zaen Kasturi sangat magis dan misterius. Menjadikan visual dalam cerpennya sangat absurb. Imejan dalam naratifnya mencipta sensasi. Seperti kita menikmati sinemakopik dalam filem-filem M. Night Shyamalan.

Iga, 2005 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Membaca cerpen-cerpen Zaen Kasturi membuatkan kita seperti tenggelam dalam filem The Six Sense (1999), Signs (2002) atau The Village (2004).

Mudahnya, Zaen Kasturi sebagai cerpenis ialah Raja Naratif Paling Komplikated.

Anda akan mengenali pemikiran unik Zaen Kasturi melalui dua kumpulan cerpennya yang dianggap terbaik.

Yuda, 1992 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rapsodi, 1998 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mudahnya begini. Trilogi filem lakonan Brad Pitt sesuai ditonton kalau mahu mengenali watak Zaen Kasturi sebagai individu yang kompleks.

Manakala trilogi M. Night Shyamalan pula, sesuai dijadikan rujukan popular kalau mahu meneroka cerpen-cerpen Zaen Kasturi yang magis dan misterius.

Apa pun - artikel KLWBC 2020 kali ini, sedikit sensasi. Sekadar percubaan meneroka seorang Zaen Kasturi yang lebih normal secara personal.

Temubual ringkas dengan Zaen Kasturi sebagai manusia biasa dan seorang lelaki seadanya.

Mudahnya - saya mahu mengenali Zaen Kasturi yang biasa-biasa saja. Semudah bertanya soalan: "Pernahkah saudara menulis sajak cinta?"


"Ya. Saya menulis sajak cinta" - Zaen Kasturi

"Ya," akui Zaen Kasturi. "Saya menulis sajak cinta sekali-sekala. Antaranya, 'Puisi Sang Cintamalang buat Sang Puteri'. Saya tulis pada tahun 1989."

Petikannya:
puteri, urat-urat mindaku dari akar pertama meranggas ke liang-liang tanah basah - menerka bau kemarau musim purba. elok kutitip lagi puisi lain buatmu - barangkali tentang seorang pertapa tuna yang gagal membawa pulang tapak kaki kijang putih untuk sang puterinya. kali ini jangan kaubertanya mengapa aku masih ingin bercerita sesuatu denganmu walau ada sebaris kabut merentang jalan lengang antara rumah tidurmu dengan teratak igauku.

(Antologi Katarsis terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1993).

Saya mengingati malam-malam yang sunyi di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur pada tahun 1989.

Memori melihat tubuh seorang lelaki berdiri dalam gelap malam di pondok telefon di tikungan jalan.

Saya selalu berfikir: "Apakah yang dibualkan lelaki pendiam ini selama berjam-jam melayani kekasihnya?"

Atau, pada malam-malam yang murung ketika dia tekun menaip puisi atau cerpennya di kamar sempit tanpa jendela. Juga tanpa bicara.

Selepas 31 tahun, saya masih ingin bertanya: "Apakah kamu mengucapkan kata cinta di telefon?

Atau, apakah kegelisahan cinta menjadikan kamu begitu tekun sepanjang malam menyiapkan sebuah cerita?"

Akhirnya, pada Selasa lalu, saya hanya mampu bertanya: "Mengapa saudara dianggap misterius?"

Zaen Kasturi menyedari dirinya sukar difahami.

"Kerana aku tidak banyak bercakap. Apa lagi, aku tidak gemar 'bising-bising' dan mencampuri urusan tidak perlu," jawabnya.

Saya mengirim soalan yang panjang mengenai keanehan dirinya.

Dijawab: "Aku lebih selesa karya di depan, bukan diri. Aku tidak selesa dengan perhatian. Aku tak mahu dilihat 'lebih sudu daripada kuah."

Mengenai minatnya - Zaen Kasturi menganggap menulis 'satu pilihan'.

"Menulis ialah 'satu pilihan daripada sedemikian banyak pilihan". Jadi kalau ada apa-apa, jangan salahkan 'pilihan', salahkan 'memilih'."

Barangkali, akan menemukan Zaen Kasturi yang lebih real melalui buku terbaharunya - 'Fajar Lingkung Lembayung' terbitan Nusa Centre (2020).

Zaen Kasturi tetap absurb sekali pun bercakap soal komitmennya pada penulisan. Hukumannya pada diri sendiri dan bukan pada persekitaran sastera.

Ini pendiriannya yang jelas sejak 31 tahun lalu. Saya mendengarnya pada hari pertama ketika Zaen Kasturi menjadi 'guru' mengajar cara mengetuk cerita di mesin taip.

"Menulis kerana ingin menulis. Kerana suka. Itu saja," katanya.

Seperti biasa - soalan saya panjang lebar. Jawapan Zaen Kasturi tetap ringkas. Tiap pertanyaan seperti melempar kata ke dinding. Soalan akan memantul kembali ke ruang fikir orang yang bertanya.

Anda mungkin akan lebih mengenali Zaen Kasturi berbanding saya. Pastinya dengan membaca buku-bukunya.

Barangkali, akan menemukan Zaen Kasturi yang lebih real melalui buku terbaharunya - 'Fajar Lingkung Lembayung' terbitan Nusa Centre (2020).