BAGI KLWBC siri ke 48 - elok kita menjengah perkembangan kandungan media baharu sebagai silang rujukan.

Satu kilas pandang untuk melihat trend kandungan dan capaian akses dalam medium sosial arus perdana masa kini.

Buku akan kekal sebagai bahan cetak paling lama bertahan dalam sejarah tamadun manusia.

Namun, dunia kini juga sedang bergerak menuju kandungan Revolusi Industri (IR) 4.0.

Satu realiti fenomenal dan titik cerminan perubahan yang bakal memberikan impak drastik dalam sejarah perbukuan konvensional.

Sekadar bandingan tetapi bukan rujukan tepat - kita tinjau sejenak perkembangan kandungan Youtube. Sekadar jengahan - kita tinjau ledakan kandungan di Indonesia.

Buku akan kekal sebagai bahan cetak paling lama bertahan dalam sejarah tamadun manusia.

Istilah "Content Creator" atau pembikin kandungan kini menjadi istilah paling hangat dalam kerancakan IR 4.0 di negara Merah Putih.

Sekadar catatan: sejak 2012, Youtube menjadi platform kandungan yang mencetuskan fenomena di seluruh dunia. Seterusnya menciptakan istilah Youtuber.

Istilah Youtuber pula diukur dengan akses perolehan angka tontonan dan dilihat imbalannya dalam janaan royalti.

Metod kandungan dan trend profesinalisme Youtuber sangat berbeza - berbanding konsep komisen sebagai 'influencer' dalam platform Instagram mahu pun Facebook.

Selebihnya, Youtube menawarkan potensi kerjaya kreatif mandiri dengan royalti USD1 bagi setiap 10 ribu tontonan video.

(Angka royalti berubah dan makin meningkat setelah saluran memiliki pengikut matang, konsisten serta komitmen pembikin kandungan menyiarkan bahan.)

Sebagai kiraan mudah, sejuta tontonan sesuatu klip akan membawa hasil USD1 ribu (RM4 ribu).

Bayaran boleh berganda apabila saluran menerima kontrak iklan berjadual daripada Youtube apabila mencapai trend matang.

Bayangkan sekiranya saluran yang aktif memuat turun 500 video setahun dengan total tontonan 1 bilion?

Bukahkan nilai bayaran asas ialah USD100 ribu (RM400 ribu). Gandaan royalti meningkat mencapai sekali ganda bagi saluran yang dinilai matang.

Justeru, Youtuber ialah kerjaya IR 4.0 yang paling trending pada era kebangkitan komuniti kandungan digital.

Sekali gus menjadikan Youtube sebagai platform terbaik pasaran kandungan kreatif di internet.

Malaysia masih seputar FB dan IG

Di Malaysia, istilah "instafamous" dan blogger sudah lama menjadi trend. Malah, sudah lapuk dan cabuk.

Malah, Instagram dan Facebook amatur dan belum mampu mencipta lonjakan 'monities' (penjanaan pendapatan) bagi kandungan kreatif.

Budaya blogger dan instafamous masih di peringkat sekadar sensasi dan mengejar populariti berasaskan angka pengikut dan jumlah 'likes'.

Namun, tidak menjamin semua capaian akses dan angka poopular itu mampu menyumbangkan pendapatan berbaloi pada pemilik akaun.

Facebook dengan akses 28 juta akaun relatifnya diakses 90 peratus netizen untuk tabiat sembang sosial.

Sekaligus, membentuk jaringan komunikasi tanpa sebarang pendapatan bagi paparan kandungan kreatif.

Kecuali data kajian menunjukkan 2.3 juta akaun Facebook di negara ini disenaraikan sebagai akaun komersil bagi promosi produk jualan dalam talian.

Majoriti akaun komersil bertindak sebagai dropship (terma bagi wakil atau broker jualan berasaskan komisen mendapatkan langganan).

Indonesia gempar dengan Universiti Youtuber

Belum pernah lagi kita mendengar mana-mana universiti di seluruh dunia mengeluarkan syarat kemasukan pelajar baharu dimeritkan berasaskan reputasi sebagai Youtuber.

Pada 16 Jun 2019, National Development University Veteren Jakarta (UPNVJ) mengumumkan merit pengambilan siswa baharu dikreditkan dengan pencapaian media sosial.

Anak muda hipster berusia 25 tahun ini, sudah mencipta pendapatan royalti USD150 ribu (RM600 ribu). - Gambar FB Atta Halilintar

Lebih details, pemilik saluran Youtube menjadi antara syarat tambahan untuk menyertai UPNVJ.

Menerusi skim ini UPNVJ mengiktiraf bakal pelajar yang berjaya menjadi bintang Youtube.

Cuma sebagai syarat tambahan, bukan sekadar akaun atau saluran Youtube, calon perlu memiliki 10,000 pelanggan dan total tontonan siaran melebihi 100 ribu kali.

Bagi negara yang agresif dengan demand kandungan Youtube, syarat ini tidak berat.

Berdasarkan rekod empat lagu popular menyumbang lebih 1 bilion tontonan, Indonesia dianggap antara negara pengguna Youtube yang agresif.

Kombinasi empat lagu Asal Kau Bahagia nyanyian Armada (329 juta ) dan Surat Cinta untuk Starla, Virgoun (319 juta) membuktikan Youtube menjadi trend popular muzik arus perdana Indonesia.

Diikuti lagu Goyang Jaran, Nella Kharisma (247 juta) dan Bukti, Virgoun (255 juta) - Indoneska kini antara negara utama pengikut Youtube.

Selain muzik pop, Indonesia sudah melahirkan Youtuber berkelas Asia.

Kadar tontonan 10 saluran utama paling popular di negara itu dikuasai platform yang menyiarkan kandungan Bahasa Melayu.

Jutawan muda Youtuber Indonesia

Paling popular anak muda Atta Halilintar. Dengan 24.5 juta pelanggan dan total tontonan 1.5 bilion, anak muda hipster berusia 25 tahun ini, sudah mencipta pendapatan royalti USD150 ribu (RM600 ribu).

Atta melancarkan saluran Youtubenya pada 2013 dengan kandungan muzik rap dan aktiviti gaya hidup popular.

Langkah Atta mendorong kelahiran Youtuber muda lain. Cuma dengan genre kandungan lebih kasual.

Angga Chandra memiliki total tontonan 788 204 juta dengan nilai royalti USD20.4 ribu (RM315 ribu).- Gambar FB Angga Chandra

Antaranya, istilah kandungan "roman gombal". Trend yang dianggap lelucon romantik di Indonesia. Selain muat naik kandungan muzikal atau prank muzikal.

Nama Bram Dermawan (1.5 juta pelanggan), Angga Candra (5.8 juta) dan Trisuaka (5.33 juta) kini mewarnai jalur masa pelanggan saluran komedi roman gombal.

Kandungan durasi pendek dengan momen romantik prank menggunakan kamera tersembunyi berjaya menarik jutaan tontonan.

Walaupun jumlah pelanggan saluran genre ini masih kecil, namun total tontonan bahan siaran kesemua raja gombal ini sangat menarik.

Bram mencapai 223 juta tontonan bagi muat turun videonya sejak 2015. Ini memberi nilai USD22.3 ribu (RM89.2 ribu).

Angga Chandra memiliki total tontonan 788 juta dengan nilai royalti USD20.4 ribu (RM315 ribu).

Dua Youtuber ini membuktikan, dengan kos beberapa ratus ribu rupiah saja, angka komersil kandungan prank roman gombal sangat berbaloi.

Malah, jumlah royalti yang diterima sangat tinggi bagi saluran yang dilancarkan pada November 2013.

Selain saluran roman gombal, penggemar Youtube di Indonesia juga dilanda demam saluran kandungan ilmiah. Terutama genre khas untuk pengetahuan am.

Munculnya saluran Calon Sarjana dengan 10 juta pelanggan dan 2 bilion tontonan total, sangat menggemparkan.

Saluran Youtube yang dilancarkan pada 2016 berjaya meraih USD200 ribu (RM800 ribu) royalti dalam tempoh 3 tahun.

Pelengkap saingan saluran pengetahuan am di Indonesia ialah Calon Ilmiah. Walaupun baru mencapai 2 juta langganan, total tontonan sudah mencecah 250 juta.

Saluran ini dilancarkan pada Ogos 2017. Belum sampai tiga tahun, saluran ini sudah meraih royalti USD25 ribu (RM100 ribu).

Begitulah realiti demam Youtuber di Indonesia.

Semakan profil janaan pendapatan Youtuber ini berasaskan kadar royalti asas. Amalan tipikal Youtube yang membayar USD1 (RM4) bagi tiap 10 ribu tontonan.

(Secara logik, Youtube menawarkan kontrak gandaan pendapatan lebih baik bagi saluran yang aktif dan kreatif).

Selain Youtuber di atas, tidak lengkap membicarakan dunia kandungan digital di negara Merah Putih ini tanpa menyebut nama Ria Ricis.

Ria memiliki 21.4 juta pelanggan dan telah meraih 3 bilion tontonan bagi 50 bulan siaran. - Gambar FB Ria Ricis

Secara individu, Ria ialah Youtuber ranking kedua di belakang Atta.

Ria memiliki 21.4 juta pelanggan dan telah meraih 3 bilion tontonan bagi 50 bulan siaran.

Ini bererti gadis berusia 24 tahun ini menerima USD108 ribu (RM1.2 juta) royalti dalam empat tahun siaran.

Ria berjaya memikat penonton Youtube dengan siri muat naik kandungan gaya hidup generasi milenial yang Islamik masa kini.

Selain selebriti Youtuber, turut popular ialah saluran bertemakan kompilasi maklumat semasa.

Antaranya, The Shiny Peanut dan Daftar Popular serta saluran amatur milik Youtuber asal pedalaman termasuk dari Sulawasi Selatan dan Pekan Baru.

Kebangkitan kandungan media digital ini turut menciptakan pemerkasaan ekonomi dengan membawa janaan royalti yang besar dari USD Youtube ke rupiah Indonesia.

Ini asas utama menyebabkan UPNVJ berani merentas cara baru pengambilan pelajar.

Youtuber kini satu kerjaya kreatif IR 4.0 dan mampu mencipta janaan pendapatan ratusan ribu ringgit setahun.

Walaupun dihasilkan dalam Bahasa Melayu, kandungan Youtuber Indonesia mampu menjadikan pemainnya sebagai jutawan.

Karyawan kreatif Indonesia membuktikan, Youtube kini saluran berdaya maju bagi segala jenis kandungan kreatif.

Apakah kandungan perbukuan Malaysia wajar menyeberang secara kreatif ke platform Youtube?

Mengapa tidak!

Soalnya adakah pentadbir geran kandungan kreatif memahami potensi ini.

Atau, masih di takuk lama dengan hanya memahami potensi bahan filem, drama dan karya muzik sebagai "kandungan kreatif".

________________________________________________________________________________

* Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.