Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

KLWBC2020: Iwan Fals sang pelawan tanpa dendam

KLWBC2020: Iwan Fals sang pelawan tanpa dendam
12 tahun setelah Suharto dijatuhkan dan dua tahun setelah diktator itu mati, Iwan Fals menolak untuk mengkritik, mencela dan memburukkan Suharto. - Gambar FB Iwan Fals
IWAN FALS lahir di Jakarta pada 3 September 1961 sebagai Virgiawan Lisianto. Penyanyi, komposer, penulis lirik dan pelawan politik.

Anak kota metropolitan ini memulakan usia 18 tahun sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik yang menjadi penentang Orde Baru di Indonesia.

Sejarah perjuangannya berliku-liku. Namun, sebagai anak muda yang dipengaruhi gerakan "The Angry Young Man", Iwan Fals kekal keras dan tegas.

Dia pernah ditahan dan disoal siasat polis dalam kurungan selama 12 hari atas arahan rejim Orde Baru kerana konsert kontroversinya di Pekanbaru pada April 1984.
Penahanan ini satu tindakan keras dalam usaha Orde Baru menyekat kebangkitan Iwan Fals yang baru berusia 24 tahun ketika itu.

Semua kericuhan ini gara-gara lagunya Mbak Tini yang dituduh pihak berkuasa sebagai sengaja menghina isteri Presiden Suharto - Ibu Tien.
Iwan ditahan selepas konsert di Gedung Olahraga Riau yang bertujuan mengutip dana untuk gerakan anak-anak muda.

Namun, seperti selalu - pentas muziknya tetap dijadikan arena mengkritik dan melahirkan protes menentang Suharto.

Rencana KLWBC siri ke-36 bercerita tentang seniman dan penyanyi folks terkemuka Indonesia, Iwan Fals

Iwan Fals ketika ditahan sudah popular sebagai penyanyi anti rejim Suharto, dan sudah menerbitkan empat album yang naratif muziknya sudah menampakkan aspirasi revolusi awam.

Iwan Fals penulis lirik dan penyanyi yang sentiasa tajam dan agresif mengkritik kerajaan serta keluarga Suharto yang dianggapnya sebagai koruptor.

Pada dekad 80-an dengan fenomena kuku besi Orde Baru yang sentiasa mengancam sesiapa saja penentang Suharto - Iwan Fals membuktikan - dirinya anak muda yang tidak pernah gentar untuk melawan arus.

Sebagai aktivis seni, puluhan lagu terus dirakam dan dinyanyikan Iwan Fals melalui ratusan konsert terbuka. 20 tahun berjuang hingga jatuhnya rejim Suharto pada Mei 1998.

Suharto melepaskan jawatan apabila berdepan rusuhan awam sejak Disember 1997 dan tekanan kebangkitan selama enam bulan melemahkan sokongan tentera terhadap kepimpinannya.

Akhirnya, Orde Baru dan presiden yang disokong tentera selama 32 tahun (1967-1998) itu terpaksa meletakkan jawatan.

Itu detik bersejarah yang dinantikan Iwan Fals sebagai seniman non partisan. Dirinya antara lebih 200 juta warga Indonesia yang meraikan detik jatuhnya Orde Baru.

Iwan Fals menggunakan muzik dan lagu protes sekaligus menjadikan dirinya wira rakyat yang tidak berparti dan tanpa fahaman politik.

10 Tokoh Paling Berpengaruh Asia

Perjuangan Iwan Fals selama 20 tahun diiktiraf Times Magazine. Pada 2002 Iwan Fals disenaraikan sebagai 10 Tokoh Paling Berpengaruh di Asia.

Lagu Mbak Tini meletakkan namanya sebagai satu-satunya tokoh seniman dan bukan politik dalam senarai itu bersama Presiden China, Ziang Jemin.

Iwan Falas sudah merakamkan hampir 15 album ketika diberikan diiktiraf Time Magazine.

Cuma, lagu paling dibenci Orde Baru - Mbak Tini tidak pernah dirakamkan. Walaupun dicipta pada 1979, Mbak Tini menjadi lagu *pemukul" paling digeruni dan hanya dinyanyikan secara "live" melalui konsertnya.

Iwan Fals ketika ditahan sudah popular sebagai penyanyi anti rejim Suharto, dan sudah menerbitkan empat album yang naratif muziknya sudah menampakkan aspirasi revolusi awam. - Gambar FB Iwan Fals

Sebenarnya, Iwan Fals merakamkan banyak lagu yang mengkritik Suharto. Antaranya "Bento", "Wakil Rakyat", "Bongkar" dan "Tikus Kantor".

Anehnya, walaupun merakamkan lebih 20 album dan 200 lagu, Iwan Fals merengkok dalam tahanan kerana lagu Mbak Tini yang tidak pernah dirakamkan.

Mbak Tini

"Berjalan mbak tini nakal menggoda
cari mangsa dengan modal paha
gak peduli dosa yang penting usaha
mbak tini bosan cari pelanggan
sesal di hatimu kian menggangu
perempuan cantik kini telah tobat
dulu kau penjual nikmat yang sesaat
"

(Petikan lirik Mbak Tini, 1979)

Bayangkan lagu seunik ini dicipta dan mula dinyanyikan secara terbuka ketika Iwan Fals berusia 17 tahun.

Pada 2007, ketika diwawancara majalah Rolling Stone - lagu ini menjadi topik utama temubual.

Semuanya kerana Iwan Fals dituduh menghina Ibu Tien, isteri Presiden Indonesia Mengapa Mbak Tini topik terhangat?

Lagu ini dilarang dan tidak diluluskan rakaman kerana peristiwa tangkapan Mei 1984.

Kejadian itu satu isyarat betapa Orde Baru sangat membenci lagu ini.

Walaupun tidak pernah dirakamkan, Mbak Tini sentiasa menjadi lagu popular di konsert "live" Iwan Fals.

Bahayanya pula, penyanyi yang keras kepala ini tekun mengadakan konsert di seluruh Indonesia dan merunutkan lagu ini dalam minta rakyat Indonesia.

Iwan Fals mengakar bumikan lagu Mbak Tini sebagai "citra penghinaan" terhadap Suharto - musuh nombor satu yang dilawannya secara muzik.

(Suharto menjadi presiden setelah menjatuhkan Sukarno melalui rampasan kuasa pada 12 Mac 1967. Sebelum rusuhan massa menjatuhkannya pada 21 Mei 1998).

Mbak Tini bukan lagu menghina Ibu Tien

Dalam wawancara bersama hos popular Kick Andy pada 5 Februari 2010, Iwan Fals mengungkapkan kisah sebenar lagu lagu Mbak Tini.

Lirik asalnya berkisar kisah bekas pelacur yang membuka warung kopi setelah berkahwin dan memulakan hidup baru.

Suaminya Suhardi bekerja sebagai pemandu lori yang akhirnya kembali menjadi samseng dan tidak pulang ke rumah. Akhirnya, Mbak Tini minta cerai.

Konflik timbul apabila dalam konsertnya di Pekanbaru, Iwan Fals menyebut lirik Suhardi sebagai Suharto.

"Waktu di panggung saya ubah Suhardi jadi Suharto,” kata Iwan.

Akibatnya, Iwan Fals dilokap dan disoal siasat atas tuduhan menghina Ibu Tien.

Krisis Suhardi jadi Suharto sengaja dikaitkan pihak berkuasa dengan tuduhan Mbak Tini adalah pelacur yang disinonimkan dengan Ibu Tien.

Setiap kali mengadakan konsert, Iwan Fals berjaya menarik puluhan ribu peminatnya. - Gambar FB Iwan Fals

Pihak berkuasa menuduh Iwan Fals menghina isteri presiden sebagai pelacur.

Iwan Fals menolak dakwaan. Kalau dirujuk pada lirik lagunya pun, jelas tiada konotasi atau simbolik yang relevan untuk mengaitkannya.

“Selepas 12 hari tanpa bukti, akhirnya yang menginterogasi puas hati dan saya dibebaskan," kata Iwan sambil tertawa.

Hebatnya Iwan Fals

Itu kisah perjalanan hebat Iwan Fals selama berjuang menentang Suharto.

Namun, yang paling dikenang selepas itu bukan lagi perjuangan Iwan Fals selama 18 tahun menentang Rejim Orde Baru.

Iwan Fals dikenang kerana budi pekerti dan hati nuraninya.

Walaupun selama 18 tahun (1980-1998), penyanyi folk Indonesia ini menentang Suharto - dia bukan pendendam.

Sejak 1981 setelah meluncurkan album pada usia 20 tahun, Iwan Fals memulakan langkah protes politik yang dinamik melalui lirik dan muzik.

Iwan Fals penulis lirik dan penyanyi yang sentiasa tajam dan agresif mengkritik kerajaan serta keluarga Suharto yang dianggapnya sebagai koruptor. - Gambar FB Iwan Fals

Album "Sarjana Muda" memuatkan lagu derita mahasiswa yang menganggur kerana regim korupsi Suharto gagal membangunkan ekonomi Indonesia.

Album ini antara sepak terajang terawal Iwan Fals dalam mengkritik Suharto.

Lirik "Sarjana Muda" satu gambaran kesia-siaan pendidikan universiti di Indonesia yang berjaya melahirkan graduan tetapi tanpa pekerjaan.

Sarjana Muda

"Engkau sarjana muda
Resah mencari kerja
Mengandalkan ijazahmu
Empat tahun lamanya
Bergelut dengan buku
'Tuk jaminan masa depan
"

(Petikan lirik Sarjana Muda 1981)

Sejak meledak lagu itu, perjalanan karier Iwan Fals dijenuhi dengan meluncurnya album-album yang lebih keras nada politiknya.

Opini (1982), Sumbang (1983), Barang Antik (1984), Sugali (1984), KpJ (1985) dan Antara Aku, Dia dan Bekas Pacarmu (1985).

Album "Sore di Tugu Pancuran" mengenai kisah anak kecil menjaja akhbar demi mencari rezeki, meletakkan gema nurani Iwan Fals terhadap nasib kaum marginal.

Lagu folk balada ini menjadi suara politik rakyat yang ketara dan meluluhkan hati pendengar.

Sore di Tugu Pancuran

"Si Budi kecil kuyup menggigil
Menahan dingin tanpa jas hujan
Di simpang jalan Tugu Pancoran
Tunggu pembeli jajakan koran
Menjelang magrib hujan tak reda
Si Budi murung menghitung laba
Surat kabar sore dijual malam
Selepas isya melangkah pulang
Anak sekecil itu berkelahi dengan waktu
Demi satu impian yang kerap ganggu tidurmu
Anak sekecil itu tak sempat nikmati waktu
Dipaksa pecahkan karang lemah jarimu terkepal
"

(Petikan lirik Sore di Tugu Pancuran 1985)

Sejak berusia 20-an, lagu-lagu bertemakan rakyat akar bumi terus mengangkat Iwan Fals dalam perjalanan muzik protes politiknya.

Ada yang keras dan tidak kurang yang melankolik.

Lagu "Matinya Seorang Penyaksi" turut menyentuh perasaan. Iwan Fals mengabadikan lagu ini buat wartawan Fuad Muhammad Syafruddin.

Fuad dibunuh pada malam 13 Ogos 1996 dan disyaki sebagai mangsa konspirasi pihak berkuasa.

Fuad cuba mendedahkan skandal rasuah pemilikan tanah di Bantul, Jogjakarta.

Apabila diumumkan sebagai 10 Tokoh Paling Berpengaruh di Asia 2002 - ia bukan kejutan.

Iwan Fals seniman tanpa dendam

Pada 2010, setelah dua tahun Suharto mati - Iwan Fals dijemput sebagai tamu program yang dihoskan Kick Andy. Seorang wartawan yang ikut berjuang menentang Orde Lama.

Kick Andy adalah program bual bicara nombor satu Indonesia pada waktu itu.

12 tahun setelah Suharto dijatuhkan dan dua tahun setelah diktator itu mati, Iwan Fals menolak untuk mengkritik, mencela dan memburukkan Suharto.

Dalam wawancara langsung itu, Iwan Fals enggan melihat masa lalu. Runut sejarah waktu perlawanannya menentang Suharto.

Kick Andy (Andy F. Noya), hos bual bicara paling popular di Metro TV berusaha membakar kemarahan Iwan Fals untuk menzahirkan kebenciannya.

Paling tidak menyamai suhu lagu-lagunya Iwan Fals yang keras mengkritik Suharto selama 18 tahun.

Iwan menolak mencela Suharto.

Iwan Fals menggunakan muzik dan lagu protes sekaligus menjadikan dirinya wira rakyat yang tidak berparti dan tanpa fahaman politik. - Gambar FB Iwan Fals

Malah, menjawab: "Suharto seorang mantan presiden yang banyak berjasa pada Indonesia."

Malah, Iwan Fals melahirkan rasa kagum kerana Suharto pernah hadir pada majlis perkahwinan adiknya sebagai tetamu kenamaan.

Selain mengkritik Suharto, Iwan Fals juga menyanyikan lagu yang sinis menyindir pengampu-pengampu Sukarno ketika rejim Orde Baru berkuasa.

Tikus Kantor

"Kisah usang tikus tikus kantor
Yang suka berenang di sungai yang kotor
Kisah usang tikus tikus berdasi
Yang suka ingkar janji lalu sembunyi
Di balik meja teman sekerja
Di dalam lemari dari baja
Kucing datang cepat ganti muka
Segera menjelma bagai tak tercela
Masa bodoh hilang harga diri
Asal tak terbukti ah tentu sikat lagi
"

(Petikan lirik Tikus Kantor 1993)

Bukankah semua sindiran tajam dalam lagu ini ketika menentang Suharto satu tanda dendam dan kemarahan?

Tidak!.

Sepanjang sejam diwawancara Kick Andy dan ditonton lebih 30 juta rakyat Indonesia, Iwan Fals enggan mengkritik musuh yang sudah meninggal dunia.

Suharto mati pada 27 Januari 2008. Genap 10 tahun selepas reformasi rakyat mengeggarkan Indonesia dan Orde Lama dijatuhkan.

"Saya mengenangnya sebagai Presiden Indonesia," jawab Iwan Fals.

Itu jiwa pelawan sejati. Ia tidak akan menentang dan menyerang musuh yang sudah mati dan tidak mampu membela diri.

Kolaborasi Iwan Fals & WS Rendra

Iwan Fals dan penyair Willibrordus Surendra Broto (W. S. Rendra, 7 November 1935 – 6 Ogos 2009).

Melalui album Kantata Takwa yang diterbitkan pada 1990, Iwan Fals dan WS Rendra membina serangan duo melalui album dan persembahan pentas.

Dua nama besar ini melahirman album Kantata Taqwa dengan disertai dua lagi pemuzik rebel; Sawung Jabo dan Jockie Surjoprajogo.

Ini kolaborasi paling bersejarah dalam revolusi seni Indonesia.

WS Rendra juga pernah ditangkap dan dilokap pada tahun 1969 kerana menyokong gerakan pelajar anti Suharto.

Kantata Taqwa

"Aku mendengar suara
Jerit makhluk terluka
Luka
Luka
Hidupnya
Luka
Orang memanah rembulan
Burung sirna sarangnya
Sirna
Sirna
Hidup redup
Alam semesta
Luka
Banyak orang
Hilang nafkahnya
Aku bernyanyi
Menjadi saksi
Banyak orang
Dirampas haknya
Aku bernyanyi
Menjadi saksi
"

(Petikan lirik Kantata Taqwa, 1990)

Begitulah Iwan Fals melawan dan melawan. Namun, semuanya berakhir tanpa dendam.

_______________________________________________________________________________

* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.