Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kombinasi budaya Malaysia dalam seni lukis Itali

Kombinasi budaya Malaysia dalam seni lukis Itali
Ali (kanan) menerangkan hasil karyanya kepada wartawan Bernama pada pameran Project 'A'-Last Man Standing di Balai Seni Negara, 26 Julai, 2020. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sesiapa sahaja pasti akan tertarik apabila melihat kartun 'Minion' dan 'Pokemon' yang menjadi sebahagian daripada watak dalam lukisan klasik realisme yang diadaptasi daripada karya artis Itali terkenal, Caravaggio.

Apa tidaknya, karya Barat yang dilihat begitu asing dan serius dengan pelbagai watak klasik, disuntik dengan elemen tempatan yang mencerminkan budaya rakyat Malaysia, selain mengekalkan keaslian lukisan berlatarbelakangkan Eropah.
Itulah konsep yang cuba diketengahkan oleh Ali Nurazmal Yusoff, 42, dalam setiap hasil kerja seni realismenya. Beliau menggunakan cat minyak atas kanvas supaya nampak lebih menarik dan lebih dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia berdasarkan luahannya terhadap peristiwa sosial, budaya dan politik Malaysia.

"Ada watak klasik Eropah berganding dengan watak moden, dan ada pula yang tiba-tiba pegang sebungkus nasi lemak dan topeng muka," kedengaran seorang pengunjung berbisik kepada rakannya ketika menghayati hasil lukisan Ali Nurazmal bertajuk "Imitation Master: Nasi Lemak Spaghetti" di Balai Seni Visual Negara (BSVN), baru-baru ini.
Penulis secara kebetulan berpeluang berbual dengan Ali Nurazmal sewaktu sesi ramah mesra media bersama Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Datuk Tom Abang Saufi di BSVN pertengahan Julai lepas.

Lukisan figuratif beliau yang menggunakan watak dalam karya asal Caravaggio 'The Fortune Teller' itu adalah antara 37 karya beliau yang dipamerkan pada Pameran Solonya 'Project A: Last Man Standing' di Galeri REKA, BSVN yang bermula 7 hingga 30 Julai.

Menurut Ali Nurazmal, beliau menjadikan lukisan Caravaggio sebagai rujukan dan subjek kepada hasil seni kerana mahu memberikan nafas baru terhadap karya seni tempatan.

“Selain elemen tempatan, saya suka menambah watak potret saya sendiri, orang-orang di sekeliling saya sebagai watak tambahan pada karya asal Caravaggio," katanya.



ILHAM KETIKA PKP

Menceritakan tentang hasil karya yang memaparkan dirinya memegang sebungkus nasi lemak dan watak Itali yang menghulurkan topeng muka kepadanya, Ali Nurazmal berkata ia merupakan antara tiga karya yang disiapkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sepatutnya pameran solo saya ini dijadualkan pada 23 Mac lepas. Saya telah membuat persediaan dengan pelbagai karya saya sejak 11 tahun lalu namun selepas kerajaan mengumumkan PKP bermula 18 Mac lalu, ia terpaksa ditunda.

"Ketika PKP, semua hasil kerja saya yang bersedia dipamerkan itu 'stuck' di studio, tidak boleh pergi ke mana, jadi saya mengambil kesempatan dalam tempoh dua hingga tiga bulan PKP itu untuk melukis di studio itu untuk menambahkan lebih banyak karya dan koleksi.

"Karya 'Imitation Master: Nasi Lemak Spaghetti"  ini membawa mesej bahawa jika Malaysia tidak mengambil langkah berjaga-jaga ketika dunia sedang berjuang melawan wabak COVID-19, keadaannya akan menjadi tidak terkawal seperti mana yang berlaku di Itali," katanya kepada Bernama.

Satu lagi karya Ali Nurazmal yang berjudul  "Imitation Master - Makcik Bawang's Gossip Corner" mengisahkan tentang bagaimana rakyat Malaysia merindui suasana lepak di kedai mamak dan berkumpul bersama-sama sebelum tempoh PKP.

"Dalam lukisan itu, saya menambah dua watak yang diberi nama 'Foodpanda' dan 'Grabfood' serta watak lain sedang menikmati makanan segera. Ia menggambarkan keadaan sebenar rakyat Malaysia sepanjang PKP yang mana semua berada di rumah terpaksa memesan makanan dan mencuba resipi masakan baharu setiap hari," katanya.

Menurut beliau, karya tersebut dihasilkan menggunakan teknik 'Chiaroscuro' iaitu teknik pencahayaan yang minimum untuk menciptakan kawasan gelap dan terang dalam sesebuah karya.

“Lukisan bersaiz besar itu merupakan percubaan saya dalam menghasilkan karya yang dianggap bertaraf muzium. Kebanyakan karya seperti itu sangat bernilai tinggi dan kerap disimpan di muzium sebagai koleksi berharga.

“Walaupun mengambil idea daripada karya Caravaggio, tetapi saya mengolah semula lukisan tersebut dengan memasukkan elemen kehidupan masyarakat pada hari ini terutama di Malaysia selain elemen sekitar kehidupan saya sendiri.

"Sebab itulah jika diamati, keseluruhan lukisan tersebut mempunyai dua sisi yang berbeza iaitu di sebelah kiri, saya memasukkan watak yang sering digunakan dalam karya Caravaggio, manakala di sebelah kanan pula adalah watak ciptaan saya sendiri,” katanya yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.



BAKAT SENI

Anak kedua daripada tujuk beradik ini dilahirkan dalam keluarga yang mencintai seni apabila kesemua mereka mendalami seni persembahan dan seni lukis.

Ali Nurazmal pernah menjadi penghibur dan penyanyi yang membuat persembahan di khalayak. Beliau yang juga mempunyai muzik band sendiri turut menggunakan studionya sebagai tempat mencari ilham untuk melukis.

"Sebab itulah, kebanyakan daripada hasil lukisan saya merupakan pengolahan dan kaca mata saya sebagai seorang penghibur untuk menghiburkan audience saya," kata graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Ijazah Seni Halus.

Kesemua 37 buah hasil karyanya adalah berdasarkan kepada pemerhatiannya mengenai perubahan sosial, politik dan peristiwa yang berlaku di Malaysia selama 11 tahun sejak tahun 2009.

Sebagai contoh, dua tahun lepas, ketika rakyat Malaysia tidak kira tua atau muda meminati aplikasi permainan 'Pokemon Go', Ali Nurazmal menghasilkan lukisan karya bertajuk 'Imitation Master After Caravaggio' dengan memasukkan beberapa watak Pokemon dan kartun kegemarannya iaitu 'minion'.

"Konsep saya dalam lukisan saya bukan sahaja hanya membawa mesej tetapi juga turut menghiburkan mereka kerana saya melukis sebagai seorang penghibur dan penglipur lara.

"Rata-rata pengunjung yang datang menyaksikan hasil kerja saya terhibur kerana melihat sesuatu yang begitu dekat dan sinonim dengan kehidupan seharian mereka meskipun tidak memaham makna di sebalik hasil lukisan itu," katanya.



ABADI KENANGAN ZAMAN KANAK-KANAK

Bapa kepada lima orang anak lelaki berusia antara enam hingga 16 tahun itu turut mengabadikan kenangan zaman kanak-kanaknya dalam kebanyakan hasil karyanya bagi menghidupkan watak di dalamnya.

"Jika mainan kanak-kanak di rumah tidak boleh disimpan lama kerana lama-kelamaan ia akan luput atau rosak dan akhirnya akan dibuang begitu sahaja, tetapi jika diabadikannya dalam bentuk lukisan dan dilihat balik selepas beberapa tahun, ia akan kekal di situ.

"Jadi ia secara tidak langsung menggamit memori zaman kanak-kanak dan mengingatkan kepada generasi saya akan datang bahawa saya pernah melalui zaman yang sama seperti mereka dikelilingi dengan mainan dan watak kartun," katanya.

Walaupun pernah muncul sebagai johan dalam Pertandingan Seni Olimpik di Lausanne, Switzerland ketika berusia 15 tahun, Ali Nurazmal memasang angan-angan untuk mengadakan pameran solo di Eropah.

“Selain dapat mempamerkan karya saya di peringkat antarabangsa, karya saya juga dapat menjadikan satu platform silang budaya yang mana apabila budaya Barat bertemu dengan budaya Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA