DAP Pulau Pinang menolak dakwaan mempunyai kaitan dengan pengurusan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang menyebar komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan di negara ini.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata pihaknya tidak mengetahui mengenai kewujudan komik bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' yang didakwa diterbitkan Muzium Kebudayaan Asia di Komtar.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri juga tidak mempunyai kaitan dengan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang didakwa mengagung-agungkan parti DAP dalam penerbitan komik tersebut.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak mencampuri urusan pentadbiran muzium berkenan, sebaliknya hanya memberikan peruntukan untuk membiayai bayaran sewa bangunan kerana menggangap ia adalah sebahagian daripada produk pelancongan Pulau Pinang.

Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kaitan dengan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang didakwa mengagung-agungkan parti DAP dalam penerbitan komik tersebut.

Sebagai balasan, Kon Yeow berkata, pihak pengurusan muzium berkenaan memberi tiket kemasukan percuma kepada pelajar sekolah untuk mengunjungi muzium berkenaan.

“Kita tidak tahu apa-apa tentang buku komik ini, sebab kita tidak campur tangan dalam pengurusan dan pengendalian muzium.

“Apa yang ada hubungan adalah cuma satu peruntukan tahunan bagi membiayai sewaan muzium, lain-lain perkara tidak dapat jawab, sebab memang tidak ada pengetahuan tentang perkara ini dan tidak berkaitan dengan DAP Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran komik propaganda yang dikeluarkan pihak Muzium Kebudayaan Komik Asia selepas majlis pelancaran dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penang Smart Trade Fasilitation di sini pada Khamis.

Perkara itu, turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya mengenai sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu.

Menurutnya, Muzium Kebudayaan Komik Asia di Komtar dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dimana pemiliknya adalah ‘Superman’ Hew Kuan Yau.

Komik itu didakwa disebarkan kepada Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan.

Menerusi gambar dikongsikan, surat bertarikh 8 Oktober 2019 dan keterangan surat itu ditujukan kepada pengetua sekolah.

Komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' dinyatakan sebagai pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.

Ia diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris.