Kompaun, denda jika merokok di premis makanan bermula 1 Jan 2020

Kompaun, denda jika merokok di premis makanan bermula 1 Jan 2020
Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan telah mengadakan sesi perbincangan bersama bagi membincangkan strategi dan langkah memastikan masalah penggunaan rokok elektronikdalam kalangan pelajar sekolah dapat dibendung. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar akan larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari 2020.

Menteri Kasihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga kini, pihaknya sedang giat menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan selain menekankan aspek pendidikan dalam isu berkenaan.

“Sebanyak 146,607 premis makanan telah diperiksa dan 31,422 notis amaran telah dikeluarkan.

“Dari jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

“Sejumlah 23,805 aduan pula telah diterima semenjak Januari 2019 sehingga 3 November 2019,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) di waktu pertanyaan menteri, di Parlimen, pada Khamis.

Mulai 1 Januari depan, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Sementara itu ketika mengulas isu vape, Dr Dzulkefly menjelaskan, kementeriannya telah mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Kementerian Pendidikan bagi membincangkan strategi dan langkah-langkah untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.



Tegasnya, di antara langkah yang telah dijalankan oleh kementeriannya ialah aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin dan penggunaan rokok elektronik di kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah.

Di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara pada 20 Ogos dan 31 Oktober 2019.

Penguatkuasaan ini menumpukan kedai-kedai penjualan rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah serta yang menjadi akses kepada pelajar seperti di kedai-kedai runcit, kedai gajet  dan kedai peralatan rokok elektronik.






Tag: Parlimen, Dewan Rakyat, vape, mahkamah, sekolah, pelajar, Kementerian Pendidikan, undang-undang, Dzulkefly Ahmad, premis makanan, larangan merokok, perokok, rokok, didakwa di mahkamah, denda, rokok elektronik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.