Kompaun RM50 akan dikenakan bagi kesalahan pertama jika gagal mengasingkan sisa pepejal di punca mulai 1 Jun 2016.

Manakala kompaun bagi kesalahan kedua dikenakan sebanyak RM100 dan RM200 bagi kesalahan ketiga seperti yang termaktub dalam Akta 672 iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, pelaksanaan pengasingan sisa pepejal yang bermula hari ini bagaimanapun tidak akan mengenakan sebarang kompaun kepada isi rumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal sehingga 1 Jun 2016.

"Dalam masa sembilan bulan ini, kita akan menggunakan pendekatan pendidikan dan juga amaran ataupun arahan notis kepada orang ramai mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal," katanya pada sidang media Pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca di MAEPS, di sini, hari ini.

Tujuh negeri terlibat dengan pelaksanaan ini iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

Pemilik kediaman diwajibkan mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori seperti kertas, plastik dan lain-lain.

Kutipan sisa makanan dan dapur akan dibuat dua kali seminggu manakala barang kitar semula akan dibuat sekali seminggu.

Tambahnya, kerajaan terpaksa berbelanja RM2 bilion untuk proses pelupusan sampah dan duit sejumlah itu boleh digunakan untuk hal-hal lain yang lebih penting.

Abdul Rahman juga menjelaskan, pelaksanaan ini dapat mengurangkan tekanan pada sumber dunia yang dibazirkan, dapat mengurangkan kos pelupusan sampah dan dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah.

Pada masa sama, beliau berkata, perkara ini diusulkan kepada kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, namun sehingga kini kedua-dua negeri itu belum memberi kata putus untuk menerima pakai Akta 672, sekali gus melaksanakan sistem baharu ini.