Kompleks baharu Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia sekali gus merupakan kompleks agensi anti rasuah terbesar di dunia yang dibina setakat hari ini.

"Bila dapat dibendung rasuah, InsyaAllah Malaysia yang tercinta akan menjadi negara yang lebih maju, disanjung dan berada di saf hadapan sebagaimana visi Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 tahun SPRM di sini hari ini.

Sambutan Jubli Emas SPRM kali ini bertemakan 'Sehati sejiwa memerangi rasuah'.

Pada majlis sama, Najib turut merasmikan Yayasan Prihatin SPRM dan melancarkan Buku Sejarah Penubuhan BPR/SPRM 50 tahun yang diterbitkan oleh Universiti Malaya Press dengan kerjasama Arkib Negara.

Beliau pada masa sama mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM5 juta untuk Yayasan Prihatin SPRM yang berperanan menjaga kebajikan warganya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad di dalam ucapannya berkata, 50 tahun penubuhan BPR/SPRM membawa obor aspirasi rakyat bagi memastikan negara bebas daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

"Kita juga telah melaksanakan pelbagai usaha melalui pengurusan siasatan dan pencegahan yang efektif serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

"Pelbagai inisiatif baharu bersama masyarakat telah diperkenalkan bagi memastikan SPRM terus kekal relevan di mata dan hati masyarakat seterusnya mengukuhkan jambatan silaturrahim dan membuka ruang kepada SPRM.

"Ia termasuk melalui Program Ziarah Kasih, Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) dan Sahabat Gerah telah mencatatkan lebih kurang 70,000 permohonan keahlian kini," jelasnya.

Katanya, Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diperkenalkan juga sehingga kini disambut baik 562 agensi secara sukareka atas kapasiti individu yang bertanggungjawab untuk menjauhkan diri daripada perlakuan rasuah.

Ujarnya, pelbagai hasil membanggakan turut dicatat SPRM bagi tempoh Ogos 2016 sehingga Ogos 2017.

"Bagi tempoh Ogos tahun lepas sehingga tahun ini, jumlah maklumat yang diterima adalah sebanyak 6,419 iaitu peningkatan sebanyak 2.63 peratus berbanding tempoh setahun sebelumnya.

"Jumlah tangkapan pula adalah 910 iaitu peningkatan 6.04 peratus berbanding tempoh sebelumnya dan jumlah pembukaan kertas siasatan adalah 952, iaitu peningkatan 2.94 peratus berbanding tempoh sama.

"Jumlah pertuduhan turut mencatat peningkatan 32.83 peratus iaitu dengan 405 kes dan jumlah sotaan nilai harta adalah sebanyak RM334.53 juta berbanding hanya RM55.02 juta bagi tempoh sama setahun sebelum ini," tegasnya.

Sementara, itu bangunan ibu pejabat SPRM yang telah siap dibina sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi pada 21 Julai lalu merupakan bangunan yang direka bentuk agar menepati keperluan operasi serta sistem pentadbiran SPRM.

Ia didirikan atas tanah berkeluasan 2.07 hektar di Presint 7 serta mampu menempatkan kira-kira 1,800 kakitangan.

Ibu pejabat SPRM itu terdiri daripada tiga menara masing-masing setinggi 14, 18 dan 22 tingkat beserta tujuh tingkat podium.

Antara kemudahan yang disediakan ialah sebuah dewan serbaguna dengan kapasiti 1,000 orang, auditorium yang mampu memuatkan 300 orang, mes pegawai, taska, gimnasium, bilik simulasi menembak, perpustakaan dan bilik sidang media.

Dari aspek keselamatan, bangunan ini mempunyai 354 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang mengawasi persekitaran luar dan dalam bangunan termasuk di dalam lif serta keseluruhan kawasan dipagari dengan pagar jenis anti-climb dan anti-cutting yang sukar ditembusi penceroboh.