Sejarah tercipta bagi dua negara berjiran Malaysia dan Thailand apabila pintu sempadan untuk kenderaan berat dan kargo di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Dannok, Songkhala beroperasi 24 jam.
Pintu pagar yang sebelum ini ditutup pada jam 12 tengah malam setiap hari kini beroperasi 24 jam bermula 18 Jun.
Bermula tepat jam 12 tengah malam waktu Malaysia dan 11 malam waktu Thailand, kedua-dua pagar sempadan mula dibuka untuk laluan kenderaan berat dan kargo.
Perasmian pembukaan pintu pagar sempadan itu disempurnakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya dan Penasihat Menteri Luar Thailand, Chaisiri Anamarn.
Marzuki berkata, pembukaan sempadan itu merupakan merupakan jalinan kerjasama yang erat di antara kedua-dua buah negara berjiran itu.

"Untuk sekian lama pintu sempadan ini ditutup pada jam 12 tengah malam dan hari ini ianya akan dibuka 24 jam, jadi ianya mampu meningkatkan kadar perdagangan antara dua negara dan untuk maklumat semua ianya akan dilaksanakan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan dimana akan tamat pada 17 september 2019," katanya pada perasmian Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao malam tadi.
Beliau berkata, pembukaan pintu sempadan itu akan merangsang ekonomi Malaysia dan Thailand yang mana Thailand kini merupakan rakan dagang yang kelima terbesar di dunia dan kedua terbesar bagi negara ASEAN dengan dagangan berjumlah AS$26.12 bilion pada tahun lepas berbanding AS$22.96 bilion pada tahun 2017.
Sementara itu Chaisari Anamarn berkata, walaupun dalam tempoh tiga bulan untuk laluan lori dan treler namun ianya dapat mengurangkan kesesakan lalulintas yang sebelum ini berlangsung sehingga menyesakkan laluan pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, keadaan ini dapat meningkatkan pertumbuhan lain seperti pelancongan dan perdagangan.

"Walaupun dalam tempoh tiga bulan percubaan untuk lori dan treler, kami percaya kebenaran ini mampu membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas agar memudahkan urusan melalui pintu sempadan bagi urusan pelancongan, perniagaan dan perdagangan. Kesefahaman ini juga mampu memangkin hubungan dagangan rentas sempadan antara Thailand dan Malaysia," katanya.
Dalam masa yang sama, katanya, Thailand ingin mewujudkan pengkalan sempadan perdagangan yang lebih efektif berbanding Sungai Golok sebelum ini.
Katanya, ekoran itu Thailand sedang membina pusat Kuarantin, Kastam dan Imigresen yang baharu bagi menampung perdagangan yang makin bertambah ekoran pembukaan sempadan itu.