PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong, dijangka menganjurkan satu kongres pada 28 Disember sebagai bantahan terhadap pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Ini antara yang anda perlu tahu berkenaan kongres itu:

1. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas telah memberi amaran agar kongres itu dibatalkan.

2. Ini kerana, ia mungkin mengakibatkan kaum Melayu juga akan turut menganjurkan kongres mereka bagi membincangkan usaha menutup sekolah vernakular Cina.

3. Beberapa media melaporkan, selain menjemput pertubuhan Cina, lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) juga diminta memulangkan garis panduan pelajaran tulisan jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.

4. Menurut laporan portal Malaysia Gazette, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang memaklumkan beberapa jalan di Kajang akan ditutup, bermula 11 pagi hingga 5 petang.

5. Jalan-jalan tersebut ialah Lampu isyarat Jalan Kuala Lumpur-Seremban/Jalan Bukit, Lampu isyarat Jalan Changkat/Jalan Bukit, Lampu isyarat Jalan Bukit Indah/Jalan Bukit, Jalan Jati/Jalan Bukit, Lebuhraya SILK/Jalan Bukit.

6. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bekerjasama rapat dengan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dalam isu pendidikan Cina. Kedua-dua mereka merupakan peneraju dalam pendidikan Cina dan dikenali sebagai "Dong Jiao Zong", menurut laman sesawang rasmi Dong Zong.

7. Dong Jiao Zong tidak bersetuju dengan pengenalan kepada tulisan jawi kerana ia bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

8. Selain itu, kuasa pengurusan yang diperuntukkan kepada lembaga pengelola sekolah di bawah Akta Pendidikan 1996 dikatakan turut dipinggirkan.