Tutup

Kongres Maruah Melayu: Jangan pula lahirkan ekstremis bangsa dan agama

Kongres Maruah Melayu: Jangan pula lahirkan ekstremis bangsa dan agama
Hasnul berharap Dr Mahathir dalam amanatnya akan menyentuh mengenai permasalahan yang jelas dalam usaha membela maruah Melayu.
IPOH: Penganjur Kongres Maruah Melayu (KMM) diingatkan supaya dengan tegas meletakkan rangka perbincangan bagi memastikan program itu berjalan atas landasan akademik, dalam ruang yang tidak melampaui batas, objektif dan matang.

Exco Penerangan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, ia perlu dilakukan supaya pengisian semasa kongres itu nanti tidak menjurus kepada perasaan kekitaan yang melampau.
"Meskipun kita maklum bahawa tema Melayu akan menjadi kata kunci penting dalam kongres ini, tetapi janganlah kongres ini nanti terpesong daripada matlamat asal sehingga terbentuk satu pemikiran ekstrem, seterusnya melahirkan golongan ekstremis bangsa dan ekstremis agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebimbangan itu pernah dizahirkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Konvokesyen ke-48 Politeknik Ungku Omar (PUO) pada Ogos lalu.
Beliau turut menasihatkan penganjur agar tidak merobek fabrik perpaduan yang wujud dalam negara ini di atas pentas KMM.

"Ini kerana, berpotensi untuk terbentuk pula selepas ini, 'Kongres Maruah Cina', 'Kongres Maruah India', 'Kongres Maruah Sarawak' dan lain-lain kongres seumpamanya.

"Ini adalah perkembangan yang tidak sihat kepada negara dalam usaha kita membentuk sebuah negara bangsa," tambahnya.

KMM dijadual berlangsung pada Ahad di Stadium Malawati Shah Alam.

Hasnul berkata, dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka menyampaikan amanatnya dalam kongres itu, diharapkan Perdana Menteri dapat menyentuh permasalahan yang jelas dalam usaha membela maruah Melayu.

Menurutnya, antara permasalahan itu termasuk penglibatan pegawai dan pemimpin Melayu dalam gejala rasuah, penglibatan anak muda Melayu dalam masalah penagihan dadah, kadar pengangguran dan kurangnya minat anak Melayu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).