MALAYSIA
Kongres Maruah Melayu: Semua nak jadi PM punca Kerajaan PH tidak cukup 'kemelayuan'

Kongres menyaksikan pembentangan resolusi enam kluster - budaya, agama, pendidikan, ekonomi, dan politik - yang diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum beliau menyampaikan amanat. - Foto Astro AWANI
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Kerajaan Pakatan Harapan tidak cukup kuat sifat ‘kemelayuannya’.
Jelas beliau, itulah hakikat yang perlu diterima dalam kepelbagaian rakyat terutama apabila berdepan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Saya nak mengaku di sini. Kerajaan walaupun dipimpin orang Melayu, tapi tidak sekuat ‘kemelayuannya’ sekarang.
“Kalau dahulu boleh diharap, sekarang tidak kuat kerana nak tak nak pun, kita kena ambil kira perasaan orang lain.
“Kalau kita tidak ambil kira, maka datang pilihan raya kita akan kalah. Inilah hakikat, inilah kebenaran yang kita dapat dalam negara kita,” sewaktu menyampaikan amanat di Kongres Maruah Melayu, di Stadium Malawati, di sini hari ini.
“Orang Melayu sama orang Melayu berkelahi. Kalau kita berkelahi, kita jadi lemah dan sebab itu kita lemah sekarang.
“Kita berkelahi sesama kita. Kita berpecah sampai enam parti politik, yang masing-masing semua nk jadi Perdana Menteri.
“Kita ada satu sahaja jawatan Perdana Menteri. Kalau kita ada banyak jawatan, boleh seorang satu ambil,” jawabnya.
Terdahulu, kongres menyaksikan pembentangan resolusi enam kluster - budaya, agama, pendidikan, ekonomi, dan politik - yang diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum beliau menyampaikan amanat.
Antara pemimpin Melayu yang turut hadir ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, serta pemimpin NGO Melayu dan Islam yang lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami