Sekurang-kurangnya satu mayat telah berjaya dikeluarkan dari tapak nahas konkrit runtuh di kawasan pembinaan berdekatan KL Eco City di Bangsar yang berlaku sekitar jam 3.30 petang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Shahrul Othman Mansor turut mengesahkan empat yang lain cedera manakala dua lagi masih tertimbus setakat jam 7 petang tadi.

Kesemua yang cedera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sementara itu dilaporkan mayat yang ditemui dikenalpasti sebagai seorang seorang pekerja kontrak warga Vietnam berusia 21 tahun yang maut di lokasi kejadian.

Manakala mangsa yang cedera, terdiri daripada pekerja kontrak warga Bangladesh dan Vietnam.

Kenyataan awal oleh Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) menyebut tiga dari yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan.

Seramai 23 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Hang Tuah dan Seputih tiba di lokasi insiden sekitar jam 3.41 petang.



Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati runtuhan setinggi dua tingkat jatuh dan menimpa pekerja pembinaan.

Kemalangan turut menyebabkan beberapa laluan di ibu negara sesak.


Sementara itu, pemaju projek berkenaaan SP Setia berkata pihaknya masih sedang menilai situasi keadaan dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Jumlah terkorban masih belum dapat ditentukan. Seorang pekerja disahkan terkorban ketika kenyataan dikeluarkan. Kami tidak dapat memberikan maklumat lanjut berikutan siasatan masih dijalankan. Kami kesal terhadap insiden yang berlaku dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan SP Setia.

Sumber foto JBPM