Ipoh, ibu negeri Perak, telah tersenarai sebagai destinasi terbaik Asia yang patut dilawati oleh Lonely Planet, majalah pelancongan terbesar dunia.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mendedahkan perkara ini berkata, kerajaan negeri amat teruja dengan penarafan tersebut kerana ia membuktikan segala usaha keras mempromosikan bandaraya ini berhasil.

Baru-baru ini, majalah pelancongan nombor satu di dunia itu telah menamakan Ipoh sebagai salah satu destinasi terbaik bagi pelancongan di Asia bagi tahun 2016.

Pemilihan yang berlangsung selama 12 bulan oleh pihak editorial itu turut meletakkan Ipoh sebagai lokasi keenam teratas dan antara faktor utamanya adalah ledakan kafe hipster dan warisan bangunan bersejarahnya.

Lonely Planet juga telah memilih Ipoh selepas Hokkaido di tempat pertama, Shanghai di tempat kedua, diikuti dengan Jeonju.

Menurut laman web tersebut, walaupun sebagai syurga makanan Ipoh agak kurang dikenali, ia kini makin mendapat tempat di hati pelancong berikutan kewujudan rangkaian kafe hipster di sudut bersejarah bandaraya tersebut.

Antaranya, di tengah-tengah kesibukan pagi bandaraya Ipoh wujud sebuah hotel dengan rekaan hiasan dalaman yang menarik dan penuh kelainan.

Ia dinamakan hotel Sekeping Kong Heng yang menampilkan bilik untuk tetamu yang dilengkapi dengan loteng berkaca dan sudut bumbung tidak berdinding.

“Namun, mutiara sebenar Ipoh adalah variasi makanannya seperti Nasi Ayam Taugeh dari restoran Lou Wong, pudding tau fu fah di Funny Mountain,” jelas laman web Lonely Planet.

Laman web itu turut menyentuh mengenai aktiviti lasak dan sukan luar, seperti memerhati burung dengan berbasikal, serta berkayak dan white water rafting di Gopeng, yang wajib dikunjungi sekiranya datang ke Ipoh.

Selain itu, laman web itu juga mengetengahkan tokong atas bukit serta ladang teh Gaharu Tea Valley juga sebagai tarikan utama yang menjadikan Ipoh wajar diangkat sebagai destinasi pilihan terbaik di Asia.