Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini telah memberi impak besar kepada industri makanan di negara ini.

Kegagalan pengedaran dan logistik secara efisen telah menyebabkan lambakan bekalan mentah di negara ini, sekali gus memaksa para pengusahanya membuang hasil laut mahupun pertanian.

Namun, bagi Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGrow), Nordin Abdul Malek, konsep pertanian komuniti dapat membantu masalah rantai bekalan yang turut menyebabkan kekurangan stok terutama di pinggir dan luar bandar.

“iGROW sendiri sebenarnya sudah lama beri penekanan kepada sistem pertanian secara komuniti untuk pasaran tempatan, sebab itu kita dari dahulu lagi sudah adakan pelbagai aktiviti pengeluaran pertanian, menggalakkan pertanian dan penternakan dan memproses makanan yang bersifat komuniti.

“Memang kita sudah jalankan program My Kampung My Futurue di Mukim Pulau Tiga, Pasir Salak yang dahulunya satu program yang diruskan dan dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri.

“Tujuannya adalah untuk pastikan di peringkat tempatan kita ada industri pertanian yang lengkap iaitu perikanan, penternakan, tanaman dan juga proses makanan.

“Dengan cara ini, ia bukan sahaja menampung keperluan makanan di dalam kawasan setempat, mukim, kampung dan daerah sahaja, tetapi lebihannya juga kita boleh edarkan di peringkat lebih jauh sama ada di peringkat nasional atau dieksport ke luar negara,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, isu rantaian bekalan makanan ini bukanlah perkara yang berlaku di Malaysia sahaja.

Sebaliknya, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Antarabangsa (FAO) turut mengakui, pandemik COVID-19 yang berlaku seluruh dunia telah menyebabkan langkah-langkah terhad dilaksanakan sekali gus menyebabkan masalah rantaian bekalan makanan di seluruh dunia.

“Dalam tempoh PKP ini, proses pergerakan dan waktu pergerakan amat terhad. Misalnya pasar-pasar hanya dibuka 6 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Saya fikir, lambakan juga berlaku sekarang kerana permintaan kita ini banyak bergantung kepada permintaan isi rumah dan keluarga.

“Selama ini saya fikir, sumbangan kepada permintaan yang besar adalah juga datang daripada pemborong-pemborong, pekedai runcit dan juga jangan kita lupa peranan industri seperti kedai makan dan restoran yang menyumbang banyak kepada permintaan bekalan makanan terutama sayur-sayuran, penternakan dan perikanan,” jelasnya.

Justeru, katanya, dalam tempoh ini, penting untuk peringkat komuniti mewujudkan inisiatif pertanian, penternakan dan perikanan yang akan membantu penduduk setempat mendapat bekalan yang lebih mudah, cepat dengan harga yang jauh lebih murah.

Pada masa sama, beliau melihat inisiatif itu juga akan meneruskan kelangsungan bekalan makanan di negara ini disaat genting seperti bencana dan penularan wabak seperti dilalui ketika ini.