Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengakui bahawa konsert K-Pop yang diadakan pada sambutan Hari Belia Negara 2012 itu telah dibiayai oleh kerajaan.

Menurutnya, kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada ketika itu ada tawaran dari pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut.

Bagaimanapun, Khairy memberitahu tajaan itu akhirnya tidak diberi dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terpaksa menanggung pembayaran untuk konsert tersebut.

Jesteru, beliau memaklumkan bahawa acara konsert K-Pop dibatalkan untuk Hari Belia 2013 dan seterusnya.

KBS juga memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

"Saya memandang serius pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Jika kita serius melakukan transformasi kearah kerajaan yang lebih telus dan amanah, laporan tersebut tidak boleh diketepikan.

Rakyat tidak mahu melihat pemimpin-pemimpin kerajaan membisu tentang laporan ini," kata Khairy yang serius mahu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku dalam kementeriannya.

Khairy berkata beliau tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang perbelanjaan di KBS sebelum beliau dilantik sebagai menteri.

"Prinsip kebertanggungjawaban bersama atau collective responsibility bermakna saya mesti menjawab dan bertindak keatas apa yang berlaku dalam kementerian saya. Kita tidak boleh lari dari tanggungjawab dan amanah," katanya.

Selain itu beliau juga memberitahu kes tuntutan kerja yang dibayar oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) dimana pembayaran untuk kerja yang sama dibuat beberapa kali, pihak SPRM telahpun menjalankan siasatan dan siasatan tersebut dipercayai telah sampai ke peringkat terakhir.


Ketua Audit Negara menegur perbelanjaan 'tidak berhemat' KBS

Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya bagi 2012 yang dikeluarkan pada Selasa menegur perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan untuk Hari Belia Negara 2012 (HBN) yang diadakan pada Mei tahun lalu dan menyifatkannya sebagai 'tidak berhemat'.

Antara yang utama diketengahkan oleh Laporan Audit Negara 2012 itu ialah berkenaan perbelanjaan tinggi bagi artis K-Pop pada Himpunan Jutaan Belia yang menelan belanja sebanyak RM1.6 juta.

Jabatan Audit turut menyifatkan perbelanjaan tersebut sebagai 'tidak selaras dengan peraturan perbelanjaan berhemat'.

Dalam laporan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa, sebanyak RM2.94 juta telah digunakan oleh KBS untuk perbelanjaan hari tersebut.

Beberapa perkara yang disenaraikan dalam perbelanjaan hari belia itu termasuk majlis makan malam, anjuran hi-tea, promosi, bayaran kepada para blogger, elaun kepada para blogger, serta lawatan pegawai-pegawai kanan ke luar negara.

Sejumlah wang sebanyak RM42,500 turut digunakan bagi tujuan pembekalan 17 unit papan tanda robot pejalan kaki yang bernilai RM2,500 seunit.

Selain itu, sebanyak RM1,111.927 juga telah digunakan bagi promosi dan publisiti Hari Belia Negara 2012, manakala sebanyak RM179,080 telah digunakan untuk majlis makan malam petugas HBN dengan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Laporan Audit turut menggariskan perbelanjaan JBSN berhubung kad keahlian Rakan Muda yang menelan kos RM3.3 juta, serta program Majlis Pelancaran Program Rakan Muda Sekolah di seluruh Malaysia dengan jumlah peruntukan dibelanjakan sebanyak RM2.7 juta.

KBS
Maklum balas dari Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagaimanapun, menyatakan bahawa papan tanda robot yang digunakan adalah mahal disebabkan faktor saiz dan ciri inovasi.

Menurut JBSN, secara keseluruhan peningkatan kos perbelanjaan majlis makan malam HBN dikatakan masih dalam kadar penjimatan.

Jelas JBSN, terdapat peningkatan dari segi jumlah petugas berikutan peningkatan acara dan dan pengunjung sebanyak 520 acara berbanding hanya 200 pada tahun 2011 serta pengingkatan pengunjung seramai 1 juta orang.

Tentang kos pelancaran Program Rakan Muda Sekolah, JBSN memberitahu kos-kos tersebut termasuk perbelanjaan logistik, promosi, makan minum, pengangkutan pelajar, aktiviti dan juga pameran.

Selain itu, JBSN dalam maklum balas mereka turut menjelaskan bahawa berdasarkan kenaikan itu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya berbelanja sebanyak 80% meskipun peningkatan acara adalah sebanyak 160%.

Perkara tersebut telah disebutkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 bagi Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 2 yang disebutkan dalam Jadual 16.14 Perbelanjaan Hari Belia Negara 2012 Yang Tidak Dibuat Secara Berhemat.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa peruntukan Program Pemberian Bantuan yang masing berjumlah RM18.25 juta dan RM12.61 juta digunakan bagi membiayai Hari Belia Negara tahun 2011 dan 2012.

Pada Jun 2012, KBS menafikan menggunakan wang kerajaan untuk membayar persembahan tiga kumpulan K-Pop dari Korea Selatan pada Himpunan Jutaan Belia 2012 dari 23 hingga 27 Mei lepas, di Putrajaya.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed berkata kos membawa kumpulan itu oleh Stadium First Sdn Bhd (Stadium First) berjumlah RM900,000 (USD$300,000), dibayar menggunakan wang penajaan untuk konsert berkenaan.


Jabatan Belia dan Sukan tubuhkan jawatankuasa siasatan

Sementara itu, JBSN telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kemungkinan wujud penyelewengan dalam proses pembayaran bagi program Sembang-Sembang Belia Sarawak dua tahun lalu.

Menurut JBSN dalam maklum balas mereka, Jawatankuasa siasatan tersebut telah ditubuhkan mulai 3 Mei 2013.

KBS2

Jawatankuasa siasatan itu ditubuhkan atas nasihat Ketua Audit Negara selepas semakan audit mendapati pembayaran sebanyak RM1.53 juta bagi program itu tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Semakan Jabatan Audit Negara terhadap pembayaran bagi program tersebut mendapati bahawa pembayaran RM1.53 juta itu tidak menggunakan baucar bayaran Majlis Belia Malaysia (MBM), sebaliknya ia merupakan baucar bayaran yang dikeluarkan oleh JBSN.

Bagaimanapun, baucar tersebut merupakan baucar cetakan komputer yang tidak mempunyai nombor siri berturutan dan bukan bayaran rasmi Kerajaan.

JBSN turut memaklumkan bahawa perkara tersebut masih dalam proses siasatan.