KELUHAN peminat-peminat seniman tersohor Datuk M. Nasir yang tidak berkesempatan membeli tiket konsert solo beliau M. Nasir, Satu Hikayat yang akan berlangsung pada 23 November kerana sudah habis dijual, ada berita gembira buat anda.

Penganjur konsert berkenaan, Shiraz Projects Sdn. Bhd. akan menambah satu lagi persembahan yang akan diadakan pada 24 November ini.

Berita berkenaan dikongsi oleh M. Nasir pada Sabtu.

Menurut pengibur yang terkenal dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud dan Mentera Semerah Padi itu, keputusan untuk menambah persembahan malam kedua semata-mata kerana enggan menghampakan pencinta-pencintanya.

"Alhamdulillah, atas permintaan ramai yang menyebabkan penambahan malam kedua pada 24 November ini. Mungkin kerana peminat sudah lama tidak menyaksikan konsert solo saya."

"Jadi saya rasa inilah masanya buat para peminat yang sebelum ini sedih dan mengeluh kerana malam pertama sold out untuk mendapatkan tiket mereka dengan kadar segara. Dua malam untuk sama-sama menyusuri 40 tahun perjalanan muzik saya dalam satu hikayat," ujar M. Nasir dalam kenyataan yang diedarkan.

Konsert yang bakal diadakan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu adalah sebagai mengenang suka-duka 40 tahun M. Nasir bergelar anak seni.

Konsert tersebut merupakan penghargaan terbesar artis berusia 62 tahin itu kepada peminat-peminat yang selama ini banyak memberi sokongan.

Di konsert M. Nasir, Satu Hikayat itu kelak, komposer legenda itu juga bakal mendendangkan lagu-lagu yang pernah dihasilkannya buat penyanyi solo dan kumpulan terkenal tanah air.

Persembahan M. Nasir akan diiringi kumpulan muziknya yang dikenali dengan The Gong yang mana Aznan Alias akan bertindak selaku pengarah muzik.