Seorang anggota polis berpangkat Konstabel ditahan selepas dia didakwa mencabul dan memeras ugut sepasang kekasih di Jalan Parit-Seri Iskandar di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Balai Polis Seri Iskandar pada jam 9 malam selepas dia hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Suspek yang telah berkhidmat di Balai Polis Parit sejak dua tahun lepas telah dipanggil memberi keterangan selepas pasangan kekasih berusia 20 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada jam 5 petang Ahad.

"Menurut pasangan kekasih tersebut, mereka berdua mendakwa diperas ugut sebanyak RM700 oleh Konstabel polis itu bagi menyelesaikan kes mereka selepas didapati melakukan kesalahan berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta jenis Proton Savvy di satu lokasi," katanya dalam sidang media di IPD Perak Tengah di sini pada petang Isnin.

Tambah Mohamad Zainal, wanita yang merupakan seorang pelajar institut pengajian di Seri Iskandar itu juga mendakwa dia diraba di bahagian kemaluan oleh suspek.

"Suspek yang tidak bertugas pada ketika itu meminta lelaki tersebut pulang terlebih dahulu sebelum dia mencabul wanita itu di dalam kereta jenis Honda Civic miliknya.

"Wanita itu kemudiannya dihantar pulang oleh suspek yang masih bujang ke pusat latihan kemahiran," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 dan 385 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan memeras ugut.