Kontroversi empat wanita Islam yang dianggap telah menghina Islam kerana menyertai Miss World Malaysia 2013 telah menarik perhatian orang ramai kepada isu-isu mengenai fatwa.

Fatwa merupakan ketetapan berkaitan hal-hal berkaitan agama Islam atau pandangan dari sudut akademik apabila timbul keraguan mengenai samada sesuatu amalan tertentu adalah dibenarkan (halal) atau dilarang (haram) dalam Islam.

Sehingga hari ini, masih terdapat perbezaan pendapat samada sesuatu fatwa yang dikeluarkan adalah satu garis panduan ibadah umat Islam sahaja atau ia dianggap sebagai sesuatu perintah yang boleh dikuatkuasakan.

Semalam, bekas menteri dan peguam Datuk Zaid Ibrahim berkata bahawa fatwa tidak boleh dianggap sebagai satu undang-undang.

Zaid turut membidas tindakan pihak berkuasa agama -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang kini sedang menyiasat kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik itu.

"Fatwa adalah untuk orang Islam, tetapi malangnya di Malaysia, ia anggap sebagai undang-undang. Tambahan pula, penganjur terdiri dari bukan Islam, mengapa mereka ini perlu membatalkan penyertaan empat wanita itu? " kata Zaid.

Zaid juga mengkritik Jawi kerana beliau mendakwa pihak tersebut "tidak faham konsep demokrasi dan kehidupan dalam masyarakat yang bebas... iaitu kerajaan tiada hak menghukum setiap dosa yang dilakukan. Hanya tuhan boleh berbuat demikian," katanya.

"Mari kita kembali kepada sejarah Islam di mana fatwa hanya merupakan satu pendapat untuk membimbing kita. Ia terpulang kepada umat Islam untuk mengikuti atau tidak. Ia bukan tugas manusia untuk menghukum mereka."

Zaid juga berpendapat bahawa undang-undang di negara ini hanya boleh dibuat melalui Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Bagaimanapun, peguam Syariah Kamar Ainiah Kamaruddin tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian.

Beliau berkata bahawa apabila fatwa sudah diwartakan, ia dianggap satu undang-undang yang sah.

"Semua umat Islam mesti mematuhi fatwa, jika tidak, tindakan boleh diambil, asalkan fatwa itu telah diwartakan oleh Dewan Undangan Negeri," kata Kamar.

Beliau menambah bahawa kesalahan yang dilakukan di dalam negeri yang mewartakan sesuatu fatwa dikira sah.

"Jika ia diwartakan di Selangor maka ia sah jika kesalahan itu dilakukan di sana," katanya.

Ditanya sama ada sesuatu fatwa boleh dicabar di mahkamah, Kamar berkata semua undang-undang boleh dicabar termasuk fatwa.

"Kalau anda rasa sesuatu fatwa adalah pendapat yang salah, ada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mencabar berdasarkan Hukum Syarak, dan jika anda mencabar ia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, maka ia berada dalam bidang kuasa mahkamah sivil. Tidak ada percanggahan langsung di sini. "

Fatwa mengenai ratu cantik telah dibuat pada 15 Jan, 1996 dan diwartakan pada 8 Feb 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan).

Fatwa itu menyatakan bahawa ia adalah "haram" dan "berdosa" bagi seorang Islam untuk menyertai, menganjurkan, atau menyumbang dalam apa-apa cara untuk pertandingan ratu cantik.

Dalam kes terbaru ini, pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali berkata unit penguatkuasaan menyiasat kes itu berikutan laporan bahawa ada gadis yang cenderung untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik walaupun fatwa telah menegahnya. Dua dari peserta terbabit, walau bagaimanapun berkata bahawa mereka akan mematuhi perintah itu.

Empat finalis Miss Malaysia World - Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna De Korte, Miera Sheikh dan Kathrina Ridzuan - digugurkan daripada pertandingan itu selepas menerima kritikan dari mufti Wilayah Persekutuan Wan Zahidi Wan Teh bahawa penyertaan mereka dianggap "berdosa".

Pada 1997, dua peserta pertandingan Miss Malaysia Petite telah dikenakan denda oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur. Mereka didakwa di bawah Seksyen 9 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa RM3,000 atau dua tahun penjara maksimum jika sabit kesalahan.

Di Selangor, tiga peserta lain dari ratu cantik yang sama telah dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar fatwa yang sama. Mereka didakwa mengikut Sek 2 (C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang juga membawa hukuman yang sama.